Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Sabtu, 31 Ogos 2013

PENCURI PECAH MASUK DAN BAKAR RUMAH.

Ruang tamu rumah rentung di jilat api.
GERIK: Kg. Padang Kunyit - Ketika rakyat Malaysia sedang gembira menantikan kiraan menyambut hari kemerdekaan ke 56, seorang warga emas Hussin bin Hj Ahmad, 68, mendapat berita sedih setelah hampir keseluruhan rumahnya hangus terbakar di jilat api pada malam tadi.

Kebakaran berlaku pada kira-kira jam 11 malam, ketika itu beliau berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur dan bergegas pulang setelah diberitahu kejadian yang menimpa melalui panggilan telefon oleh jiran berdekatan.

Beliau hanya dapat menyaksikan hampir keseluruhan rumahnya musnah apabila tiba disini pada jam 7 pagi tadi.

Difahamkan 2 buah jentera Bomba daripada Balai Lenggong dan Gerik telah berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran yang dipercayai berlaku di bilik utama berhampiran ruang tamu daripada merebak dan memusnahkan terus keseluruhan rumah itu.

Kesan bukti yang di tinggalkan oleh pencuri.
Menurut Hussin, kebakaran berlaku ini di percayai berpunca daripada perbuatan jenayah pecah rumah, kerana terdapat kesan bukti penjenayah menceroboh masuk dengan meletakkan sebuah kerusi diatas tong untuk memanjat  dan memecah masuk melalui atap di bahagian belakang rumahnya.

Disyaki juga, penjenayah yang memecah masuk itu berbuat khianat dengan membakar rumah setelah mendapati tiada barang-barang berharga dapat diambil oleh penjenayah tersebut, ujar Hussin.

Tambah Hussin, laporan polis telah dibuat Balai Polis Gerik, untuk siasatan lanjut. Manakala kerugian akibat kebakaran ini dianggarkan melebihi RM160 ribu.



PAS Kawasan Lenggong turut bersimpati diatas musibah yang berlaku keatas mangsa dan berharap agar siasatan polis dapat dilakukan dengan segera, sekiranya telah dikenalpasti terdapat kesan bukti kejadian jenayah yang berlaku seperti ini tidak menimpa kepada mangsa-mangsa seterusnya.

PAS Kawasan juga menyeru kepada sesiapa yang ingin membantu mangsa, bolehlah menyalurkan bantuan melalui akaun bank CIMB: 08100000510050. (Hussin bin Ahmad).



Rabu, 28 Ogos 2013

PAS Selangkah di hadapan jadikan Lenggong Hab Pengajian Islam.

Muat turun dan sebarkan.
LENGGONG-  PAS Lenggong berada selangkah dihadapan menjadikan kawasan ini sebagai Hab pengajian Islam, setelah Insitut Latihan Kepimpinan  dan Pangkaderan Dakwah Islamiyyah (ILHAM) membuka cawangan baru di Daerah Hulu Perak. Seterusnya, membuka peluang kepada Jemaah PAS di daerah ini untuk mengikuti kursus peringkat Diploma yang di tawarkan yang akan beroperasi di Maahad Tahfiz Quran Lid Da’awah Wal Imamah kg. Luat, disini pada bulan September ini.

ILHAM menawarkan kursus pengajian 3 semeter selama 3 tahun. Manakala untuk pengajian lanjutan, boleh di sambung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Kuliah akan diadakan sebulan sekali dan peperiksaan akan diadakan setiap 5 bulan sekali.

Sebagai langkah awal, program pertama yang ditawarkan di ILHAM Cawangan Lenggong ialah, Diploma Tasawwur Islam (DTI) seperti berikut:-

 :: Pengantar Pengajian al-Quran
:: Aqidah Islamiyyah
:: Pengantar Politik Islam
:: Pengantar Fiqh islam
:: Ekonomi Islam
:: Akhlak Islamiyyah
:: Pendidikan Islam
:: Pengantar Pengajian Hadith.

Pengambilan pelajar terhad kepada 30 orang sahaja di peringkat permulaan dan semua pelajar-pelajar yang berjaya akan bergraduasi setelah tamat pengajian untuk menerima diploma masing-masing.

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus di tawarkan, sila hubungi no. telefon ini sekarang untuk mendapatkan borang kemasukan: (019-575 9843- Syakir) (013-537 8142-Juwadi) (012-344 6000-Rifaat.)

Terdahulu, ILHAM telah mengadakan Majlis Konvokesyen Kali Ke-11 pada 18 MAC 2013 bertempat di Dewan Dato’ Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Taman Melewar, Kuala Lumpur. Seramai 120 orang graduan telah menerima diploma masing-masing.

Sehingga kini, ILHAM juga telah berjaya membuka cawangan-cawangan di beberapa buah negeri iaitu Johor, Terengganu, Pahang Negeri Sembilan dan Perak.



Rabu, 21 Ogos 2013

SOLAT HAJAT SELAMATKAN UMAT MESIR - SYRIA - PALESTIN & JAMUAN RUMAH TERBUKA HARIRAYA EIDULFITRI PAS KAWASAN

PAS Lenggong menyeru kepada semua muslimin dan muslimat yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, supaya bersama-sama menghadiri program yang diadakan bermula jam 7 petang, di Surau Ibnu Zakaria. Dataran Luat, Lenggong pada 22 Ogos nanti.
 
Menurut YDP PAS Kawasan, tn hj Razman hj Zakaria, sebagai umat yang mengaku dirinya bersaudara sesama Islam maka, kita semua mestilah berharapan supaya kezaliman yang sedang berlaku keatas umat Islam di Mesir, Syria, Palestin dan dimana sahaja terhadap umat Islam, dapat dihentikan dengan segera.
 
Bagaimanapun, kemampuan terhad telah membataskan kita untuk membantu mereka secara meterial atau fizikal.  Namun kewajipan kita keatas saudara seagama yang dizalimi tidak bermakna berhenti begitu sahaja.
 
Oleh yang demikian, bantuan terhadap mereka akan di lakukan juga dengan mengadakan solat hajat dan munajat bagi meminta pertolongan dan bantuan Allah dengan berdoa sebagaimana telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW iaitu; doa ialah senjata bagi orang-orang mukmin.
 
Merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, tn hj Razman turut menyeru semua umat Islam tanpa mengira latarbelakang politik agar dapat bersama menyertai program ini dan berdoa untuk keselamatan umat Islam di seluruh dunia supaya terhindar daripada sebarang kezaliman dan penindasan yang keji.
 
Kesempatan menganjurkan solat hajat ini, PAS Kawasan turut mengadakan jamuan rumah terbuka Hariraya Eidulfitri pada tarikh tersebut dengan mengundang Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengimamkan solat hajat yang akan bermula dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
 
Inilah sedikit sumbangan kita untuk saudara seagama dengan kita di bumi yang sedang bergolak dan berdarah seperti yang sedang berlaku di negara umat Islam di Timur Tengah pada ketika ini. Dengan berdoa secara berjemaah, sekurang-kurangnya dapat membuktikan ikhtiar serta keupayaan kita di hadapan Allah untuk membantu mereka di dalam apa juga keadaan yang sedang saudara seagama dengan kita  alami, ujar tn hj Razman.

Sabtu, 3 Ogos 2013

MAHKAMAH TOLAK TUNTUTAN FELCRA: Sinar baru untuk peserta bebas dari cengkaman FELCRA.


LENGGONG- 1 Ogos: Mahkamah Majistret Lenggong hari ini menolak dengan kos tuntutan berkenaan saman kos pembangunan oleh Felcra Bhd terhadap Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Felcra (Bapa), Razman Zakaria. 

Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak telah disaman oleh Felcra Bhd selaku wakil diri kepada arwah bapanya, Zakaria bin Awang Kechik dan ibunya, Naimah binti Ahmad.

Selain itu, mahkamah juga turut membenarkan tuntutan balas Razman dan ibunya terhadap Felcra berkenaan wang tabung tanam semula yang tidak dikembalikan oleh Felcra.

Turut dibenarkan adalah tuntutan balas untuk ganti rugi berkenaan tindakan Felcra yg telah mengambil hasil di tanah milik bapa dan ibu Razman dari tarikh 1 Januari 2011 hingga 30 April 2011 tanpa kebenaran pada kadar satu tan per-ekar mengikut harga Malaysian Palm Oil Board (MPOB) pada masa berkenaan.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Majistret, Akhiruddin @ Boy bin Acho tidak memberikan butiran alasan penghakiman namun beliau menyatakan ianya akan dikeluarkan kelak.

Peguam mewakili Razman, Mohamad Zamri Ibrahim ketika dihubungi berkata, di antara hujah defendan iaitu Razman dan ibunya ialah perjanjian oleh Felcra adalah tidak sah kerana tiada kepastian berhubung tempoh masa perjanjian, cara pembayaran serta amaun hutang yang perlu dijelaskan oleh defendan."Ianya adalah bertentangan dengan seksyen 30 Akta Kontrak 1950.

"Defendan juga membawa pembelaan had masa iaitu tindakan Felcra menuntut terhadap Defendan adalah diluar dari tempoh masa yang dibenarkan oleh undang-undang."Ia mengambil kira tempoh perjanjian adalah 15 tahun dan berdasarkan terma perjanjian, ianya bermula 1 Januari 1988 dan tamat mulai 01 Januari 2004," jelasnya.

Berkenaan tuntutan balas defendan, beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Perak menjelaskan, hujah yang dibuat oleh defendan ialah wang tabung tanam semula adalah milik defendan. Katanya, oleh yang demikian, ianya perlu dikembalikan kepada defendan dan Felcra tidak boleh memotong wang tersebut untuk tujuan selain penanaman semula kelapa sawit.

Ketika ditanya berkenaan ganti rugi terhadap tindakan Felcra mengambil hasil tanah defendan, pihak defendan telah menghujahkan bahawa hasil di sepanjang tempoh tersebut adalah milik defendan dan perlu dikembalikan oleh Felcra.

Dalam pada itu, Razman ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh majistret itu.Katanya, perjuangan beliau bersama ibu dan arwah bapanya itu akhirnya menghasilkan kejayaan kepada mereka.

"Inilah harapan baru kepada peserta Felcra untuk membebaskan daripada cengkaman Felcra."Saya menyeru kepada peserta Felcra agar mendesak pihak felcra mengembalikan hak mereka khususnya kepada perjanjian yg telah melebihi 15 tahun.

"Mereka juga wajar menyemak kos pengurusan berlebihan yang tidak sepatutnya dikenakan kepada peserta," jelasnya lagi.