Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Selasa, 28 Ogos 2012

CERAMAH SULUNG SELEPAS BEREHAT DIBULAN RAMADHAN

KG.LUAT LENGGONG- Ceramah umum kembali dikawasan Lenggong untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat pengundi didaerah Lenggong.
Penceramah jemputan dalam program ini terdiri dari ust Hanapiah Idris, selaku ketua urusan dewan ulamak Pas Kawasan. Dan penceramah utama ialah Dato' Fauzi Saari, mantan pegawai tinggi kerajaan PDRM.
Dato' Fauzi Saari telah mengakhiri perkhidmatannya (berpencen) dalam jabatan kerajaan sebagai pengarah jab.siasatan jenayah PDRM Bukit Aman, seterusnya beliau membuat keputusan untuk menyertai perjuangan Pas.
Ust Hanapiah dalam ucapannya berkata, orang-orang melayu pada ketika ini hendaklah menyertai perjuangan Pas. Kerana, pada ketika ini, kerajaan Umno Bn sedang berada diambang kekalahan didalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.
Ini terbukti, apabila Umno sedang terdesak menghentam Pakatan Rakyat melalui Media arus perdana yang menjadi lidah rasmi kerajaan dengan berita-berita yang tidak benar dan berusaha untuk mengelirukan masyarakat pengundi.
Setiap hari kita dihidangkan dengan isu-isu utama melibatkan agama, perpaduan kaum yang kononnya, Umno/Bn kelihatan lebih baik daripada Pakatan Rakyat. Sebaliknya, hal yang demikian tidak terjadi dalam pemerintahan kerajaan Umno/Bn.
Isu hudud adalah contoh permainan politik kotor yang terkini didendangkan oleh Umno. Sedangkan sudah 50 tahun Umno berkuasa, tetapi tidak pernah hendak berhajat untuk melaksanakan hukum hudud, malah ketika kerajaan Negeri Kelantan mahu melaksanakan hukum hudud, kerajaan pusat dengan keras menghalang perlaksanaan itu dilaksanakan oleh kerajaan dikuasai oleh Pas itu.
Sementara itu, Penceramah utama dalam penyampaian ceramahnya berkata, beliau amat bersyukur diatas kesedaran dirinya kerana memilih berada didalam perjuangan Islam bersama-sama dengan Pas.
Keputusan dibuat oleh beliau setelah berpencen daripada jabatan kerajaan merupakan keputusan yang tepat kerana beliau mendapati perjuangan parti Pas adalah perjuangan jemaah islam ya g benar-benar ikhlas.
Sepanjang beliau bertugas sebagai pegawai tinggi didalam jabatan PDRM, sebelum pencen pada tahun 2006 lalu banyak pengalaman dilalui dengan berbagai ujian dan cabaran.
Bermula daripada kesedaran islam, beliau menerima hidayah bahawasanya hukum atau undang-undang Islam itu lebih baik dilaksanakan berbanding hukuman undang-undang sivil yang ada di negara ini. Kenyataan ini berdasarkan pengalaman dilalui beliau sepanjang perkhidmatan sebagai pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman.
Sekiranya indek jenayah mahu dijadikan sifar maka, tidak ada undang-undang lain ciptaan manusia yang boleh menyekat sebarang jenayah daripada berlaku melainkan hukum Allah Ta'alaa iaitu, hukum hudud.
Kenapa pula hukum hudud ini dijadikan modal oleh pemimpin- pemimpin Umno untuk menakutkan-nakutkan orang bukan Islam daripada menyokong undang-undang dilaksanakan di negara ini.
Bukankah sebagai pemimpin kaum umat Islam, sepatutnya perdana menteri dan menteri-menteri Umno beragama islam wajib menyokong apa yang telah diperjuangkan oleh Pas selama ini, iaitu perlembagaan Al Quran dan Sunnah. Kalau Umno katakan Pas mesti keluar daripada Pakatan Rakyat kerana DAP menolak hudud, sebenarnya terlebih dahulu Umno lah yang terlebih dahulu kena keluar daripada Bn kerana MCA dengan jelas telah mengeluarkan kenyataan MCA akan keluar Bn sekiranya Umno melaksanakan hukum Allah Swt. Dan seterusnya mengecam ADUN Johor dengan mengatakan ADUN Umno Bn itu sudah kehilangan aqal.
Dalam konteks ini, siapakah yang wajar dipersalahkan? Sekiranya Umno mendakwa mereka telah melaksanakan hukum islam dinegara ini maka, Umno wajib dipersalahkan kerana tidak memberi faham kepada rakan mereka didalam Bn, yang mana dengan keyataan Pemimpin MCA itu menyebabkan penghinaan telah dilakukan oleh MCA keatas orang-orang islam berada didalam Umno.
Akhirnya, Dato' Fauzi menyeru masyarakat pengundi membuat perubahan pada pru-13 dengan meninggalkan kedudukan didalam Umno Bn samada diperingkat bahagian ataupun diperingkat Cawangan di kampung-kampung dengan memilihnPakatan Rakyat yang telah menawarkan tawaran-tawaran yang lebih baik demi kesejahteraan semua kaum dan agama dinegara ini.
Sebelum mengakhiri ceramah, Dato' Fauzi telah menyampaikan puisi jihad untuk dihayati oleh pendengar sebelum berpisah pada malam ini.
Tahniah Daripada Pas Kawasan Lenggong kepada Dato' Fauzi, kerana memilih Pas sebagai wadah untuk memberi kesedaran yang dapat menyampaikan masyarakat membuat perubahan minda terutamanya, bagi pengundi-pengundi di Lenggong untuk menilai mana yang lebih untuk dibuat pilihan pada pru 13 akan datang.




Ahad, 26 Ogos 2012

RAMPAS TANAH: "JANJI DICAPATI" OLEH PEMIMPIN MELAYU UMNO LENGGONG

(Tapak rumah ini diroboh kali pertama pada, 13 Ogos 2012.)
KG. LUAT - "Ibarat Belanda Mintak Tanah." Begitulah pepatah melayu yang layak diberikan kepada YB Lenggong.

Kata pemilik tanah, apabila tapak rumah yang dibina telah dirobohkan oleh pihak penguatkuasa pejabat tanah dan daerah Lenggong, pada 16 ogos lalu. Lihat Video Disini

(Tapak rumah musnah diroboh kali kedua pada 16 Ogos 2012)
Rentetan disebalik  kejadian meroboh tapak rumah yang sedang dalam pembinaan itu, ianya menimbulkan banyak kontroversi diantara pemilik tanah dan pihak berkuasa. Berikutan status tanah pemilik asal (milik kekal) telah ditukarkan kepada tanah rizab kerajaan dalam jumlah yang luas dengan cara yang mengelirukan tuan tanah oleh campurtangan pihak ketiga.

Menurut tuan tanah, kontroversi ini bermula apabila arwah bapanya selaku pemilik tanah, menandatangani surat kebenaran bagi membolehkan kerajaan membina jambatan melintasi sungai Perak dan jalanraya menghubungkan kota Tampan, kg.Luat, kg.Beng dan kg.Chepor.

Menurut tuan tanah, perjanjian asal arwah bapanya sebelum menandatangani surat kebenaran untuk pembinaan jalanraya itu, hanyalah melibatkan sebahagian kecil jalan yang hendak dibina sahaja dan bukan sebahagian besar tanah milik beliau diambil menjadi tanah rizab kerajaan atau rizab jalan.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu, 'khadam' atau penghantar surat pejabat tanah dan daerah disini, memanggil arwah bapanya kepejabat untuk menandatangani satu surat dihadapan pegawai daerah yang mengelirukan tuan tanah berkaitan kebenaran mengambil tanah untuk tujuan pembinaan jalanraya itu.

Menurutnya lagi, arwah bapanya yang sudah uzur pada ketika itu, tidak membaca isi kandungan surat perjanjian itu kerana, mengikut perjanjian bersama ketika majlis perundingan dengan jabatan-jabatan yang terlibat dengan pembinaan jalanraya itu, tuan tanah dengan jelas telah menyatakan bahawa hanya sebahagian kecil tanahnya (mengikut luas jalan sahaja) dibenarkan diambil pihak bertanggungjawab. Perkara ini telah disahkan oleh bapanya ketika bapanya masih hidup, semua surat serta gambar majlis perundingan dengan jabatan terbabit bersama tuan tanah pada masa itu masih ada dalam simpanan keluarganya.


Rentetan daripada peristiwa itu, campurtangan ahli politik. Wakil rakyat ahli Parlimen 

Lenggong, bermula dengan tiket pembangunan diatas tanah yang menjadi kontroversi ini.


Selepas tamat pembinaan jalan dan jambatan sungai Perak, dua buah bangunan dewan dan sebuah padang futsal telah dibina diatas tanah yang tidak dibenarkan oleh tuan tanah. Sebelum pembinaan itu dimulakan, wakil rakyat berasal dari kg.Luat yang juga merupakan saudara-mara kepada waris pemilik tanah yang diambil itu, telah berjanji tidak akan mengambil atau membina apa-apa lagi diatas tanah itu dalam satu pertemuan pembinaan dua buah bangunan dewan dan sebuah padang futsal pada ketika itu.


Perundingan itu dibuat oleh ahli Parlimen dengan tuan tanah berikutan, status tanah berkenaan masih menjadi milik waris yang sah dan tuan tanah masih lagi membayar cukai hasil tanah berdasarkan perjanjian asal iaitu, tanah yang diserahkan kepada pihak kerajaan hanyalah sebahagian kecil untuk pembinaan jalanraya sahaja. Dan tidak melibatkan tanah yang hendak diambil oleh wakil rakyat untuk sebarang tujuan pembangunan.
Dan pada hari ini, wakil rakyat ini semakin ghairah untuk merampas kesemua tanah disepanjang jalanraya ini daripada tangan waris-waris yang berhak. 

Buat kali keduanya, pihak pejabat tanah dan daerah kecil Lenggong meruntuh dan merampas sturuktur tiang tapak rumah pewaris tanah yang sedang dalam pembinaan setelah pihak berkenaan merobohkannya kali pertama pada 13 Ogos lalu.


Inilah usaha terakhir beliau sebagai ahli Parlimen sebelum BN tumpas dan rebah tersungkur disini. 


Setelah tanah-tanah disini di gazetkan sebagai tapak warisan dunia, ada pihak yang sedang mengambil peluang dan mengidamkan prospek keuntungan melalui pembangunan bernilai berjuta-juta ringgit dengan mengenepikan perjanjian asal diatas tanah ini.

Pada hari ini juga rakyat disini dapat menyaksikan kerakusan sebuah kerajaan diwakili seorang wakil rakyat BN yang mendakwa rakyat didahulukan, juara rakyat, sebenarnya ialah pengkhianat rakyat, tidak menepati janji dan tidak dapat membela nasib bangsa dan saudara-maranya sendiri.

Nantikan pendedahan seterusnya bersama bukti-bukti perjanjian diantara kedua-belah pihak mengenai pengambilan tanah yang menjadi kontroversi ini.

Mengapa dibangga tanah ini tapak warisan dunia sedang anak bangsa ditipu, ditindas dan dirampas hak mereka.

Ingatlah tapak warisan Akhirat, yang mana dari tanah kita dijadikan. Kedalam tanah juga kita akan dimasukkan.

Perjanjian ini telah tertulis oleh Malaikat yang sentiasa mencatitkan apa yang telah kita lafaz dan yang telah kita lakukan.

Kata mereka, UMNO/BN pejuang dan pembela melayu. Tapi, sebenarnya UMNO/BN ni sebuah parti penipu orang-orang melayu.

Khamis, 2 Ogos 2012

TAZKIRAH RAMADHAN: Semoga Allah Beri Kekuatan Untuk Kita Semua Memperbaiki Diri.


Hidup ini tidak sunyi dari arus cabaran dan dugaan. Bahkan, seluruh hidup ini ialah ujian dari Tuhan s.w.t. Dalam sedar ataupun tidak, manusia yang serba lemah ini diperangi oleh empat musuh utama iaitu:

Dunia

Makhluk

Syaitan

Nafsu

Keempat-empat musuh ini cuba sedaya-upaya menjauhkan manusia dari Allah s.w.t., dengan menghakis nilai-nilai kehambaan dalam diri mereka, supaya manusia semakin jauh dari Maha Pencipta.

Adapun dunia, ia memperindahkan dirinya untuk menggoda manusia, supaya melupakan tanggungjawab kehidupannya, untuk menjadi hamba Allah s.w.t., dan seterusnya membuat manusia menjadi hamba dirinya (hamba dunia). Inilah bentuk kehinaan yang tidak difahami oleh sebahagian besar manusia yang telahpun lemas dalam penghambaan diri kepada dunia.

Dunia yang dijadikan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi hamba manusia, dan manusia yang dijadikan untuk menjadi hamba Allah s.w.t., telahpun hilang nilai-nilai tersebut takkala manusia pula yang menghambakan diri kepada dunia.

Padahal, hakikat dunia yang fana ini hanyalah seumpama tempat persinggahan bagi manusia, untuk menuju alam akhirat. Namun, manusia yang melihat zahir kecantikan dunia ini sibuk mengejar segala isi dunia di samping melupakan akhirat yang sepatutnya menjadi destinasi terakhirnya. Tidak kira halal atau haram, mana yang boleh dan mana yang tidak, asalkan dapat dunia, tetap diusahakannya. Setelah itu, apabila meninggal dunia, mahu salahkan dunia, takkala dunia tidak ikut sama? Bahkan, mahu pula menyalahkan dunia kerana menipu? Tiada yang salah ketika itu melainkan diri sendiri.

Diriwayatkan bahawa, Nabi Isa a.s. pernah dizahirkan hakikat dunia kepada baginda a.s. dalam bentuk perempuan yang sangat tua. Lalu, Nabi Isa a.s. pun bertanya kepada perempuan tersebut: "berapa ramaikah suamimu?" Perempuan itu menjawab: "terlalu ramai". Nabi Isa a.s. bertanya lagi: "berapa ramai pula yang kamu ceraikan." Perempuan tua itu menjawab: "terlalu ramai juga".

Nabi Isa a.s. lantas berkata: "tidakkah para suamimu yang kini tidak mahu mengambil pengajaran dari apa yang telah kamu lakukan kepada bekas para suamimu yang lalu?"

Dalam gambaran ini, amat jelas bahawa, dunia ini tidaklah seindah yang disangka. Para suami dunia adalah mereka yang sibuk mengejar dan mencintai dunia. Adapun dunia mencerai para suaminya, adalah dengan kematian. Oleh itu, Nabi Isa a.s. seolah-olah berkata: "tidakkah pencinta dunia sekarang tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada para pencinta dunia yang telahpun meninggal dunia dalam penuh kerugian?"

Musuh kedua manusia pula ialah makhluk. Makhluk ialah, manusia selain diri sendiri, yang tidak membawa kita kepada Allah s.w.t.. Antara makhluk yang menghalang kita dari Allah s.w.t. adalah makhluk berlawanan jenis. Di mana, ujian bagi lelaki ialah wanita dan ujian bagi wanita ialah lelaki. Makhluk secara umumnya juga hijab yang menghalang manusia dari mengingati Allah s.w.t., takkala mereka sibuk mengajak kita dalam mengingati urusan keduniaan semata-mata.

Bahkan, lebih khusus lagi, takkala syahwat manusia yang sentiasa membuak-buak dalam mengajak diri seseorang untuk mencari pasangan untuk membuahkan cinta berahi. Lelaki amat tertarik dengan perempuan yang cantik dan perempuan pula tertarik dengan lelaki tampan.

Ramai juga di kalangan manusia yang tenggelam dalam cinta manusia dan akhirnya membawa kepada penyesalan. Makhluk yang tidak membawa kita kepada Allah s.w.t., perlulah dijauhi sedaya-upaya dengan mencari golongan manusia yang sentiasa membawa kita kepada Allah s.w.t..
Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w. bersabda: "seseorang itu di atas agama temannya, maka perhatikanlah siapa yang akan dijadikan teman dirinya".

Mengapa mencintai makhluk atau manusia melebihi Allah s.w.t., sedangkan kita akan kembali kepada Allah s.w.t.. Mengapakah kita mencintai manusia melebihi Allah s.w.t. sedangkan manusia akan mati, dan perpisahan antara keduanya pasti terjadi, sedangkan cinta kepada Allah s.w.t., kekal abadi, kerana Allah s.w.t. sentiasa bersama-sama sesiapa yang mencintai-Nya?

Kita tertipu dengan zahir manusia, sehingga terlupa bahawa Allah s.w.t. bahkan lebih mencintai kita berbanding manusia. Manusia mencintai kita kerana maslahat yang ingin diambil dari kita, sedangkan Allah s.w.t. mencintai kita tanpa mengharap apa-apa kemaslahatan dari kita, bahkan Dialah yang memberi maslahat kepada kita.

Berusahalah untuk menanam cinta Allah s.w.t. melebihi cinta makhluk dalam jiwa, agar dikau dapat mencapai kebahagiaan abadi, di samping mencari golongan yang sentiasa membawa kita kepada Allah s.w.t.
Musuh yang ketiga bagi manusia pula ialah syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan dan mengajak kepada menderhakai Allah s.w.t.. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari berjalan di jalan yang lurus, dalam menuju Ilahi s.w.t. kerana mahu mengajak manusia menemani mereka di neraka.

Allah s.w.t. seolah-olah berfirman kepada manusia yang taat kepada syaitan dan menderhakai-Nya: "Wahai anak Adam. Bukankah suatu ketika dahulu, Iblis pernah menghina bapamu Adam a.s.? Bukankah pada ketika itu, Akulah yang membela bapamu Adam dengan melaknat Iblis sehingga hari Kiamat. Namun, pada ketika ini, kamu pula yang membela Iblis dan mengkhianati Aku, pembela bapamu Adam suatu ketika dahulu, dan membantu mereka (syaitan) dalam memusuhi Aku?"

Jadi, sesiapa yang tunduk kepada syaitan dalam memusuhi Allah s.w.t., bererti dia tidak mengenang jasa Allah s.w.t. takkala membela ayahnya Adam a.s.. Jadi, janganlah cuba memusuhi Allah s.w.t. dan Adam a.s., kerana barangsiapa yang memusuhi Allah s.w.t. akan dibinasakan oleh Allah s.w.t. sepertimana Dia pernah membinasakan musuh-musuh-Nya sebelum ini, seperti Haman, Fir'aun, Qorun, Namrud dan sebagainya.

Musuh yang paling hampir dan paling merbahaya buat manusia ialah nafsu, yang sentiasa menghasut manusia supaya memusuhi Allah s.w.t. dengan melakukan maksiat. Hasutan-hasutan itu bergelora dengan syahwat dalam diri manusia, tanpa manusia sedari. Nafsu sentiasa memukau manusia dengan menzahirkan kecantikan maksiat sehingga manusia melupai akibat buruk dari maksiat tersebut.

Musuh-musuh inilah yang sentiasa saling berpakat untuk memisahkan manusia dari Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi para hamba-Nya. Merekalah yang mengajak manusia mengkhianati cinta Allah s.w.t. terhadap mereka, walaupun Tuhan s.w.t. tidak jemu-jemu dalam memberi rezeki dan nikmat kepada mereka terus menerus.

Mereka lupa, Allah s.w.t. takkala menciptakan manusia, Dia menciptakan manusia kerana cinta-Nya kepada manusia. Manusia lupa, Allah s.w.t. takkala mencintai mereka, Allah s.w.t. mencintai mereka setulus cinta yang tiada cinta yang setanding dengan cinta-Nya. Manusia juga lupa, Allah s.w.t. mencipta cinta dalam diri manusia untuk mencintai Allah s.w.t., sedangkan mereka mencintai selain dari-Nya s.w.t.. Manusia juga lupa, Allah s.w.t. menjadikan seluruh alam ini untuk berkhidmat kepada mereka, kerana cinta Allah s.w.t. kepada manusia, namun manusia pula yang berkhidmat kepada dunia dan mencintai dunia melebihi Tuhan yang menciptakan dunia untuk mereka.

Semuanya kerana cinta. Apa ada dengan cinta Ilahi s.w.t.? Kamu tidakkan mengerti selagi kamu tidak melawan musuh-musuhmu dan kembali kepada Allah s.w.t. yang sentiasa menanti kehadiranmu di sisi-Nya kerana cinta-Nya kepadamu.

Semuanya kerana rindu. Rindu Allah s.w.t. untuk melihat hamba-hamba-Nya bermunajat dalam mengemis belas dari-Nya. Rindu Allah s.w.t. untuk mendengar rintihan para hamba-Nya yang mengharap dari-Nya. Rindu-Nya untuk mengampunkan para hamba-Nya yang telah mengkhianati-Nya, takkala dia bertaubat dengan taubat nasuha.

Dialah Allah s.w.t. yang sentiasa merinduimu.Oleh itu, jangan cemari diri sendiri dengan memusuhi Allah s.w.t. kerana kita memerlukan-Nya saban waktu.

Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai bulan untuk mengubah diri ini, dek kesempatan yang sebentar ini, cuma sebulan sekali. Padanya, syaitan dirantai, pahala diganda, pintu pengampunan terbuka meluas, dan hujan rahmat tercurah lebat. Jadikanlah Ramadhan sebagai pintu untuk menuju kebaikan diri dalam proses untuk kembali kepada Allah s.w.t..

Semoga Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan mereka yang mengambil faedah di bulan Ramadhan...
Amin...