Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Jumaat, 17 Oktober 2014

LPUP MENYOKONG PENUH KENYATAAN PESURUHJAYA PAS PERAK

Allah SWT berfirman di dalam Surah at Taubah ayat 107-110 berkenaan dengan pembinaan Masjid Dhirar yang dibina atas dasar memecahbelahkan umat Islam.
Maksudnya : Dan (di antara munafik itu) ada yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (terhadap umat Islam), atas dasar kekufuran, dan memecah belahkan umat Islam serta menunggu orang yang memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Sesungguhnya mereka bersumpah : "Kami tidak ingin apa apa melainkan kebaikan". Sedangkan Allah menjadi saksi bahawa mereka itu pendusta. (Surah at Taubah : 107)

1. Berhubung dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak, Tuan Haji Razman Zakaria yang disiarkan di dalam Sinar Harian hari ini, kami Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Perak menyokong penuh kenyataan tersebut dengan beberapa hujah :

a) Penubuhan dan tindakan PasMa telah membawa kepada perpecahan dalaman, khususnya kekeliruan ahli PAS.

b) PasMa sepanjang beroperasi dan roadshow yang dijalankan sarat dengan fitnah dan penghinaan terhadap Tuan Guru Presiden PAS secara terbuka.

c) PasMa secara zahirnya mencetuskan propoganda yang tidak syarie dengan tuduhan dan mainan politik yang kurang baik.

d) Kewujudan PasMa dikatakan bagi menjaga hubungan Pakatan Rakyat, walhal matlamat tersebut tidak seperti yang sedang dilakukan.

2. LPUP menegaskan juga bahawa Pesuruhjaya PAS Perak berdiri selari dengan gesaan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamak yang telah membuat keputusan baru baru ini dan ia sepatutnya didokong oleh semua ahli dan kepimpinan PAS bagi menjaga keutuhan PAS.

3. Justeru LPUP berharap agar apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak serta kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak yang mewakili Badan Perhubungan Negeri wajib disokong dan didokong oleh semua ahli.

16 Oktober 2014.

Arman Yusop
Ketua,
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis
Dewan Ulamak PAS Perak.

Selasa, 14 Oktober 2014

PAS UCAP TAKZIAH KEPADA MENTERI BESAR PERAK

Seluruh SAFF KEPIMPINAN BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PERAK merakamkan ucapan takziah kepada Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir serta seluruh ahli keluarganya diatas pemergian ayahanda beliau pagi tadi.

Abd Kadir Muhammad, 73, atau lebih dikenali sebagai Pak Karim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Desa Pangkor di Pulau Pangkor kerana serangan jantung.

Kami berharap beliau dan seluruh ahli keluarga tabah serta bersabar dengan ketentuan ini dan didoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Semoga pemergiannya itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memimpin negeri ini dengan adil dan penuh saksama.

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

Isnin, 13 Oktober 2014

PAS PERAK KECEWA NELAYAN DINAFIKAN HAK KERANA PERBEZAAN POLITIK

PAS Negeri Perak melahirkan rasa kesal diatas diskriminasi dan tekanan berterusan oleh kerajaan BN terhadap golongan miskin hanya disebabkan perbezaan ideologi politik.

Kami merujuk kepada kes kelulusan bantuan perumahan nelayan darat Kenering, Perak di dalam parlimen Lenggong yang melibatkan seramai 55 orang nelayan darat.

Setelah kelulusan dan pemberitahuan kepada 55 orang penerima, tiba-tiba 22 orang daripada mereka ditarik balik kerana dikatakan berpegangan politik lain daripada Umno. Kami mempunyai bukti bahawasanya penafian bantuan tersebut adalah disebabkan desakan politik.

Sangat zalim dan tidak bertanggungjawab jika dengan alasan perbezaan politik menyebabkan mereka dinafikan hak untuk menerima bantuan tersebut.

PAS Perak melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang dianiaya dan dinafikan hak untuk menerima bantuan tersebut di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Kami menggesa agar 22 orang nelayan yang dibatalkan bantuannya itu diberikan kembali hak mereka tersebut.

Slogan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" telah dibakulsampahkan oleh Umno itu sendiri.

Sikap sedemikian jelas membuktikan bahawasanya kerajaan hanya mengamalkan konsep menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu semata-mata sebaliknya rakyat dinafikan hak untuk mendapat pembelaan.

PAS Perak menyeru kepada agensi kerajaan supaya meningkatkan tahap keprofesionalan mereka dalam memberi perkhidmatan yang adil kepada semua rakyat.Letaklah kepetingan rakyat perkara yang utama dan mengetepikan kepentingan lain.

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak





 

BAJET 2015 MENGELIRUKAN RAKYAT

BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PERAK telah menjangkakan sejak awal lagi bahawasanya Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Rakyat adalah bersifat mengelirukan rakyat. Ibarat "beri secupak ambil balik segantang" atau "beri RM1.00 dan ambil semula RM100" daripada seluruh rakyat.

Kami berpandangan, rakyat mungkin dikhayalkan dengan pemberian yang tidak seberapa berbanding kenaikan yang berlaku termasuklah harga minyak yang dinaikkan sebanyak RM0.20. Rakyat akan merasai keperitan dengan kenaikan kos kehidupan seharian kesan daripada kenaikan harga minyak dan menjelang perlaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun hadapan. Ianya sudah pasti akan memberi impak yang besar terhadap inflasi ekonomi negara secara keseluruhan.

Bajet yang dibentang itu juga turut mengelirukan dan mengaburkan mata golongan tertentu termasuklah belia, nelayan serta golongan berpendapatan rendah yang kurang kesedaran politik dan perkembangan semasa. Seluruh rakyat perlu membuat pengiraan secara logik tentang peningkat drastik yang bakal berlaku pada tahun 2015 yang dijangka sangat mencabar.

Sebagai contoh, pekebun getah dan sawit perlu membuat kiraan tentang kehilangan pendapatan akibat daripada penurunan harga komoditi getah dan sawit dimana tiada langkah yang serius oleh kerajaan terhadap permintaan rakyat untuk menetapkan harga lantai RM4/kg berbanding masa ini.

Golongan usahawan khususnya kecil-kecilan perlu mencongak apa yang akan berlaku pasca kenaikan harga minyak serta perlaksanaan cukai GST yang akan menyebabkan modal mereka meningkat dan secara tidak langsung untung semakin berkurang.GST memberi kesan langsung terhadap kenaikan harga barang sebanyak 6% yang ditanggung oleh pengguna.

Kami sangat mengharapkan agar kekayaan negara daripada pelbagai sumber yang dianugerahkan oleh Allah ini dapat diurus dengan bijak bagi memberi impak yang lebih besar seterusnya nikmatnya diperoleh oleh seluruh rakyat.

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

Selasa, 7 Oktober 2014

BAJET 2015: MENANTI USAHA RINGANKAN BEBAN RAKYAT

PAS Perak menanti sesuatu pengisytiharan yang baik daripada bajet 2015 yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Kerajaan Umno/BN perlu sedar kuasa yang diberikan oleh rakyat seharusnya memainkan peranan untuk memikir sesuatu usaha untuk meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.

Pendapatan pekebun kecil getah dan sawit merosot lebih dpd 50%. Harga getah sebelum PRU13 mencecah RM9/kg namun sekarang serendah RM1.60/kg. Sawit daripada RM900 berkurang sehingga sekitar RM300-Rm400/mton. Penurunan harga komoditi ini dikatakan berpunca daripada kejatuhan harga pasaran dunia.

Namun apa yang menghairankan ialah, diketahui harga pasaran dunia minyak mentah dunia ketika ini turun daripada USD 135/barel kepada sekitar USD 90/barel namun kerajaan Umno bertindak tidak seiring apabila menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak RM 0.20 seliter.

Kenaikan ini mendorong kepada kenaikan secara berantai semua kos barangan dan perkhidmatan seterusnya menambahkan lagi beban yang dialami oleh rakyat. Ini belum lagi mengambil kira kesan daripada tindakan kerajaan menafikan tarif eletrik sebelum ini.

Penurunan pendapatan dan peningkatan kos sara hidup menjadikan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana amat tertekan.  Fenomena ini mendorong rakyat terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan untuk menampung perbelanjaan. Rakyat menghabiskan lebih daripada 12 jam sehari bekerja untuk menampung kekurangan pendapatan. Ini akan menyumbang banyak lagi perkara negatif dalam institusi masyarakat dan keluarga.

PAS Perak menaruh penuh harapan semoga bajet kali ini berkisarkan bajet prihatin rakyat, bukan bajet menjaga kroni serta bajet membodohkan rakyat untuk mengekalkan kuasa semata-mata seperti pemberian BRIM tidak memberi impak ekonomi rakyat dan Negara.

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

Sabtu, 4 Oktober 2014

PERUTUSAN HARI RAYA QURBAN

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengadunkan secara bersepadu antara amal tarbawi, usaha dakwah dan gerak kerja siasah dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai din wa daulah. Prinsip yang digenggam oleh setiap ahli PAS adalah al-Qur'an, Hadith, Ijma' dan Qias yang menjadi dustur perlembagaan tertinggi parti.

Demi memastikan perjalanan PAS terus berada di atas landasan perjuangannya yang betul, dan demi memastikan PAS tidak tersasar daripada matlamat asalnya akibat daripada gangguan anasir-anasir yang tidak Islamik, maka gerakan Islam ini sangat-sangat memerlukan kewujudan sinergi ahli-ahli daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion bersama-sama Majlis Syura Ulama' yang berperanan sebagai penunjuk arah dan pemantau kepada hala tuju perjuangan parti.

PAS memilih pendekatan muwajahah silmiyyah dalam gelanggang politik demokrasi, dengan menggunakan pelbagai ijtihad siyasi dan strategi yang masyru' (terikat dengan syariat), agar terlaksana cita-cita dan matlamat berjihad bagi meninggikan Kalimah Allah (li takuna kalimatuLlahi hiyal 'ulya). Ahli-ahli PAS di setiap peringkat diseru untuk memahami abjadiyat atau asas-asas perjuangan ini.

Sempena menyambut hari raya qurban pada tahun 1435H ini, adalah wajar bagi para pejuang PAS untuk merenung kembali kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s untuk diambil ibrah.

Nabi Ibrahim a.s telah diuji dengan perintah Allah s.w.t yang terlalu bercanggah dengan kehendak naluri. Walaupun begitu baginda tanpa ragu-ragu mendahulukan perintah Allah s.w.t yang menyuruh baginda mengorbankan Ismail a.s, seorang anak yang menjadi cita-cita, idaman, impian dan permohonan baginda sejak sekian lama.

Ujian ini membuktikan kekuatan pegangan prinsip akidah dan ketinggian kualiti keimanan seorang hamba kepada Tuhannya.

Pengajaran yang dapat diambil daripada kisah pengorbanan ini sebagai peringatan kita bersama, apa jua strategi dan perancangan bagi mencapai matlamat dan cita-cita janganlah sampai menggoyahkan prinsip dan jatidiri kita sebagai amilin  gerakan Islam yang dicintai ini.

Selamat menyambut hari raya qurban kepada seluruh umat Islam. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan selama ini mendapat keredhaan Allah s.w.t.

HJ RAZMAN HJ ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK.