Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Rabu, 8 Disember 2010

LENGGONG OH LENGGONG....

LENGGONG: "Terkejut saya tengok-tengok dalam mesin basuh penuh air lumpur yang keruh, kena pula dengan pakaian di dalamnya yang sebahagiannya pakaian puteh.
  "Sebelumnya saya buka paip, saya dapati air yang keluar mulanya air yang jernih dan saya pun beredar untuk buat kerja lain sementara menunggu air penuh," kata Nik Luqmanul Hakim, 13.
  Nik Luqman yang tinggal di Kampung Luat dekat sini, adalah sebahagian daripada lebih 2000 penduduk dua kampung, termasuk Kampung Chepor di seberang Sungai Perak dalam daerah Lenggong yang tidak mampu lagi untuk berdiam diri berdepan masalah air paip berlumpur keruh.
  Kepada Berita Harian yang membuat tinjauan masalah air berlumpur keruh dihadapi penduduk dua kampung berkenaan baru-baru ini, pelajar terbabit berkata, selain air berlumpur keruh, kadang-kadang penduduk terputus bekalan air.
  "Sepanjang musim hujan sejak Oktober lalu boleh dikatakan penduduk menghadapi masalah air keruh hampir setiap hari, kebiasaannya apabila paip dibuka pada sebelah malam atau awal pagi.
  "Bila hujan di hulu sungai pada sebelah petang, air paip akan menjadi keruh dan paip terpaksa dibuka hingga pagi supaya air berlumpur keruh keluar sebelum kembali menjadi jernih," katanya.
  Seorang peniaga gerai makan, Badrin Zakaria, 47, berkata dia terpaksa membuka paip dari tengah malam hingga pagi untuk mendapatkan air yang jernih semula, bagaimanapun kadang-kadang memakan masa hingga tengahari.
  Katanya, ketika air jernih semula dia dan isterinya terpaksa memenuhkan takungannya kerana bimbang air paip menjadi keruh semula apabila hujan turun pada sebelah petang atau malam.
  "Selepas hujan biasanya saya buka paip saya masukkan ke dalam botol mineral, saya dapati yang mula-mula air lumpurnya berwarna kehitam-hitaman, selepas itu bertukar menjadi kuning teh tarik sebelum agak jernih sedikit," katanya.
  Badrin berkata, perbekalan air paip Kampung Luat telah menerima peruntukan untuk baik pulih empangan paip di hulu Sungai Luat selain paip-paip yang telah rosak sehingga ke kawasan perkampungan dan dia difahamkan kerja-kerja baik pulih telah selesai dilakukan.
  Katanya, dia difahamkan peruntukan untuk projek berkenaan sebanyak RM200,000, bagaimanapun keadaan yang sama seperti bertahun-tahun sebelumnya masih terus berlaku.
  Masalah penduduk minum dan membasuh dengan menggunakan air paip berkenaan telah berlaku sejak berbelas tahun, berpunca daripada pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air di hulu Sungai Luat, katanya.
  Sementara itu tinjauan di Kampung Chepor, mendapati keadaan yang hampir sama berlaku sejak bertahun-tahun, juga didakwa akibat pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air.
  Salah seorang Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahmad Ruzi Bahari, 46, berkata selain air berlumpur keruh, minggu lalu penduduk terputus bekalan air selama tiga hari berikutan paip tersumbat pasir.
  Katanya, sejak pembalakan di kawasan tadahan air, paip sering tersumbat selepas hujan di kawasan hulu Sungai Chepor menyebabkan air berkurangan sekiranya tidak terputus langsung.
  "Keadaan seperti itu dihadapi oleh kira-kira 700 penduduk, manakala kira-kira 300 penduduk lagi langsung tidak mendapat bekalan air pada waktu siang, kecuali setelah lewat tengah malam.
  "Itu pada hari-hari biasa, pada musim perayaan seperti beberapa hari menjelang dan selepas Aidilfitri keadaan menjadi lebih teruk sehinggakan sebahagian besar tidak mendapat bekalan air," katanya.
  Ahmad Ruzi berkata, penduduk berhadapan masalah air berlumpur keruh sudah biasa bagi pada setiap kali musim hujan....
Seorang pemuda Kampung Chepor tunjuk keadaan paip perbekalan air yang ditanam tidak dalam menyebabkan mudah pecah.

            Seorang kanak-kanak menadah air berlumpur keruh di rumahnya di Kampung Luat, Lenggong
 Badrin tunjuk 3 botol mineral air berlumpur - botol kanan sekali tadahan pertama air kelihatan keruh      hitam, botol tengah keruh kuning teh tarik dan botol kiri sekali airnya mulai agak jernih sedikit.


                          Nik Luqman - "Terkejut saya tengok-tengok dalam mesin basuh dipenuh air lumpur...



2 ulasan:

  1. Bila dah lama sangat cari rezeki di kota besar...kepala pun rasa runsing jugak nak cari ketenagan...dengar bunyi air terjun,bunyi itik,ayam,kambing,lembu,kerbau sedang menguak di bendang tak pun ditepi sungai...tak kala sambil melihat orang sedang melanggai ikan...masatu musim ikan loma sedang bertelur dan musim ikan putih berkumpul...aku pulak bersama-sama kawan-kawan pergi kesungai bagan menjerut ikan....rasanya dah lama jugak rupa penjerut pun ramai orang tak pernah lihat apatah lagi tempat lain mugkin taktahu langsung alat ini merupakan warisan orang melayu dahulukala.... bila waktu malam pulak selepas balik dari sembahyang di menesah aku pergi mengaji dirumah tok alang; masatu ramai kawan=kawan dari kampung paya yang datang mengaji termasuklah pitri yang selalunya kami terpaksa turut dirumah kerana pelbagai alasan...biasalah mengaji kena rotan biasalah...bila balik pulak bawak pelita minyak gas..terpadam sahaja kena tiup angin berterabur lari lintang pukang ada yang menjerit bila lalu bawah pokok limau yang diatasnya pokok langsuir...
    masatu kalau nak tengok kunang-kunang bersepah-sepah tak payah pakai pelita pun jalan balik terang dengan lampu kunang-kunang...bunyi cengkerik,bunyi pesan nyaring waktu malam...bila subuh embun serta kabus tebal penuh dilaman rumah...kini terdengar jugak lori balak menceroboh masuk kampung bukit bukau kampung aku ....akibat kerakusan pentadbir serta bangsa yang cintakan duit....

    BalasPadam
  2. akibatnya....sehingga sekarang kami terpaksa meminum air tanah...walaupun bertukar pentadbiran pemimpin atasan,rumah kampung gaya petani bertukar rumah separuh batu,mesin basuh pun dah ada,kereta besar pun dah sampai ke laman rumah bersusun...hebat...anak-anak serta cucu pun dah boleh speaking; tak faham langsung kalau ditanya hang dah berjawi ke belum...kalau tanya pernah makan buah perah ...lagi lah..mungkin perak atau jakun terus..taktahu...kesian bangsa melayu hari ini..gulai buah getah masak kuning rasanya aku je lagi yang pernah makan dan masih ingat cara nak buatnya...
    dulu atok aku pernah cakap kampung kita ni kalau nak buat gotong royong kenduri sahaja paling seronok.ape tak seronoknya bila tugas nak cari akar serikal nah orang muda kena panjat gunung sambil tu cari pucuk bayas boleh buat kerabu takpun gulai..masa kenduri malam tu.nyor pulak pakat ramai-ramai tawaf dari talong sampai ke paya kutip dari rumah ke rumah tak payah beli pun sedekah di orang kampung..hebat! kalau nak buat jemoran para pulak petang tu pakat ramai-ramai penaik buloh buat pelantar sambil makan bubur kacang tak punpulut ikan masin,takpun pulut dengan nyor parut ...malam karang boleh tengoklah makcik,pakcik,anak dara...bawak kukur nyor ke rumah tuan kenduri...
    by: KERABAT AWANG KECHIL

    BalasPadam