Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Khamis, 2 Ogos 2012

TAZKIRAH RAMADHAN: Semoga Allah Beri Kekuatan Untuk Kita Semua Memperbaiki Diri.


Hidup ini tidak sunyi dari arus cabaran dan dugaan. Bahkan, seluruh hidup ini ialah ujian dari Tuhan s.w.t. Dalam sedar ataupun tidak, manusia yang serba lemah ini diperangi oleh empat musuh utama iaitu:

Dunia

Makhluk

Syaitan

Nafsu

Keempat-empat musuh ini cuba sedaya-upaya menjauhkan manusia dari Allah s.w.t., dengan menghakis nilai-nilai kehambaan dalam diri mereka, supaya manusia semakin jauh dari Maha Pencipta.

Adapun dunia, ia memperindahkan dirinya untuk menggoda manusia, supaya melupakan tanggungjawab kehidupannya, untuk menjadi hamba Allah s.w.t., dan seterusnya membuat manusia menjadi hamba dirinya (hamba dunia). Inilah bentuk kehinaan yang tidak difahami oleh sebahagian besar manusia yang telahpun lemas dalam penghambaan diri kepada dunia.

Dunia yang dijadikan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi hamba manusia, dan manusia yang dijadikan untuk menjadi hamba Allah s.w.t., telahpun hilang nilai-nilai tersebut takkala manusia pula yang menghambakan diri kepada dunia.

Padahal, hakikat dunia yang fana ini hanyalah seumpama tempat persinggahan bagi manusia, untuk menuju alam akhirat. Namun, manusia yang melihat zahir kecantikan dunia ini sibuk mengejar segala isi dunia di samping melupakan akhirat yang sepatutnya menjadi destinasi terakhirnya. Tidak kira halal atau haram, mana yang boleh dan mana yang tidak, asalkan dapat dunia, tetap diusahakannya. Setelah itu, apabila meninggal dunia, mahu salahkan dunia, takkala dunia tidak ikut sama? Bahkan, mahu pula menyalahkan dunia kerana menipu? Tiada yang salah ketika itu melainkan diri sendiri.

Diriwayatkan bahawa, Nabi Isa a.s. pernah dizahirkan hakikat dunia kepada baginda a.s. dalam bentuk perempuan yang sangat tua. Lalu, Nabi Isa a.s. pun bertanya kepada perempuan tersebut: "berapa ramaikah suamimu?" Perempuan itu menjawab: "terlalu ramai". Nabi Isa a.s. bertanya lagi: "berapa ramai pula yang kamu ceraikan." Perempuan tua itu menjawab: "terlalu ramai juga".

Nabi Isa a.s. lantas berkata: "tidakkah para suamimu yang kini tidak mahu mengambil pengajaran dari apa yang telah kamu lakukan kepada bekas para suamimu yang lalu?"

Dalam gambaran ini, amat jelas bahawa, dunia ini tidaklah seindah yang disangka. Para suami dunia adalah mereka yang sibuk mengejar dan mencintai dunia. Adapun dunia mencerai para suaminya, adalah dengan kematian. Oleh itu, Nabi Isa a.s. seolah-olah berkata: "tidakkah pencinta dunia sekarang tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku kepada para pencinta dunia yang telahpun meninggal dunia dalam penuh kerugian?"

Musuh kedua manusia pula ialah makhluk. Makhluk ialah, manusia selain diri sendiri, yang tidak membawa kita kepada Allah s.w.t.. Antara makhluk yang menghalang kita dari Allah s.w.t. adalah makhluk berlawanan jenis. Di mana, ujian bagi lelaki ialah wanita dan ujian bagi wanita ialah lelaki. Makhluk secara umumnya juga hijab yang menghalang manusia dari mengingati Allah s.w.t., takkala mereka sibuk mengajak kita dalam mengingati urusan keduniaan semata-mata.

Bahkan, lebih khusus lagi, takkala syahwat manusia yang sentiasa membuak-buak dalam mengajak diri seseorang untuk mencari pasangan untuk membuahkan cinta berahi. Lelaki amat tertarik dengan perempuan yang cantik dan perempuan pula tertarik dengan lelaki tampan.

Ramai juga di kalangan manusia yang tenggelam dalam cinta manusia dan akhirnya membawa kepada penyesalan. Makhluk yang tidak membawa kita kepada Allah s.w.t., perlulah dijauhi sedaya-upaya dengan mencari golongan manusia yang sentiasa membawa kita kepada Allah s.w.t..
Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w. bersabda: "seseorang itu di atas agama temannya, maka perhatikanlah siapa yang akan dijadikan teman dirinya".

Mengapa mencintai makhluk atau manusia melebihi Allah s.w.t., sedangkan kita akan kembali kepada Allah s.w.t.. Mengapakah kita mencintai manusia melebihi Allah s.w.t. sedangkan manusia akan mati, dan perpisahan antara keduanya pasti terjadi, sedangkan cinta kepada Allah s.w.t., kekal abadi, kerana Allah s.w.t. sentiasa bersama-sama sesiapa yang mencintai-Nya?

Kita tertipu dengan zahir manusia, sehingga terlupa bahawa Allah s.w.t. bahkan lebih mencintai kita berbanding manusia. Manusia mencintai kita kerana maslahat yang ingin diambil dari kita, sedangkan Allah s.w.t. mencintai kita tanpa mengharap apa-apa kemaslahatan dari kita, bahkan Dialah yang memberi maslahat kepada kita.

Berusahalah untuk menanam cinta Allah s.w.t. melebihi cinta makhluk dalam jiwa, agar dikau dapat mencapai kebahagiaan abadi, di samping mencari golongan yang sentiasa membawa kita kepada Allah s.w.t.
Musuh yang ketiga bagi manusia pula ialah syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan dan mengajak kepada menderhakai Allah s.w.t.. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari berjalan di jalan yang lurus, dalam menuju Ilahi s.w.t. kerana mahu mengajak manusia menemani mereka di neraka.

Allah s.w.t. seolah-olah berfirman kepada manusia yang taat kepada syaitan dan menderhakai-Nya: "Wahai anak Adam. Bukankah suatu ketika dahulu, Iblis pernah menghina bapamu Adam a.s.? Bukankah pada ketika itu, Akulah yang membela bapamu Adam dengan melaknat Iblis sehingga hari Kiamat. Namun, pada ketika ini, kamu pula yang membela Iblis dan mengkhianati Aku, pembela bapamu Adam suatu ketika dahulu, dan membantu mereka (syaitan) dalam memusuhi Aku?"

Jadi, sesiapa yang tunduk kepada syaitan dalam memusuhi Allah s.w.t., bererti dia tidak mengenang jasa Allah s.w.t. takkala membela ayahnya Adam a.s.. Jadi, janganlah cuba memusuhi Allah s.w.t. dan Adam a.s., kerana barangsiapa yang memusuhi Allah s.w.t. akan dibinasakan oleh Allah s.w.t. sepertimana Dia pernah membinasakan musuh-musuh-Nya sebelum ini, seperti Haman, Fir'aun, Qorun, Namrud dan sebagainya.

Musuh yang paling hampir dan paling merbahaya buat manusia ialah nafsu, yang sentiasa menghasut manusia supaya memusuhi Allah s.w.t. dengan melakukan maksiat. Hasutan-hasutan itu bergelora dengan syahwat dalam diri manusia, tanpa manusia sedari. Nafsu sentiasa memukau manusia dengan menzahirkan kecantikan maksiat sehingga manusia melupai akibat buruk dari maksiat tersebut.

Musuh-musuh inilah yang sentiasa saling berpakat untuk memisahkan manusia dari Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi para hamba-Nya. Merekalah yang mengajak manusia mengkhianati cinta Allah s.w.t. terhadap mereka, walaupun Tuhan s.w.t. tidak jemu-jemu dalam memberi rezeki dan nikmat kepada mereka terus menerus.

Mereka lupa, Allah s.w.t. takkala menciptakan manusia, Dia menciptakan manusia kerana cinta-Nya kepada manusia. Manusia lupa, Allah s.w.t. takkala mencintai mereka, Allah s.w.t. mencintai mereka setulus cinta yang tiada cinta yang setanding dengan cinta-Nya. Manusia juga lupa, Allah s.w.t. mencipta cinta dalam diri manusia untuk mencintai Allah s.w.t., sedangkan mereka mencintai selain dari-Nya s.w.t.. Manusia juga lupa, Allah s.w.t. menjadikan seluruh alam ini untuk berkhidmat kepada mereka, kerana cinta Allah s.w.t. kepada manusia, namun manusia pula yang berkhidmat kepada dunia dan mencintai dunia melebihi Tuhan yang menciptakan dunia untuk mereka.

Semuanya kerana cinta. Apa ada dengan cinta Ilahi s.w.t.? Kamu tidakkan mengerti selagi kamu tidak melawan musuh-musuhmu dan kembali kepada Allah s.w.t. yang sentiasa menanti kehadiranmu di sisi-Nya kerana cinta-Nya kepadamu.

Semuanya kerana rindu. Rindu Allah s.w.t. untuk melihat hamba-hamba-Nya bermunajat dalam mengemis belas dari-Nya. Rindu Allah s.w.t. untuk mendengar rintihan para hamba-Nya yang mengharap dari-Nya. Rindu-Nya untuk mengampunkan para hamba-Nya yang telah mengkhianati-Nya, takkala dia bertaubat dengan taubat nasuha.

Dialah Allah s.w.t. yang sentiasa merinduimu.Oleh itu, jangan cemari diri sendiri dengan memusuhi Allah s.w.t. kerana kita memerlukan-Nya saban waktu.

Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai bulan untuk mengubah diri ini, dek kesempatan yang sebentar ini, cuma sebulan sekali. Padanya, syaitan dirantai, pahala diganda, pintu pengampunan terbuka meluas, dan hujan rahmat tercurah lebat. Jadikanlah Ramadhan sebagai pintu untuk menuju kebaikan diri dalam proses untuk kembali kepada Allah s.w.t..

Semoga Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan mereka yang mengambil faedah di bulan Ramadhan...
Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan