Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Jumaat, 5 November 2010

SATU MALAYSIA YANG KABUR.


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum,
Salam Ukhuwwah dari hamba yang sentiasa menginsafi betapa lemah dan kerdilnya diri hamba disisi Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Luas Pengetahuan-Nya, Yang Maha Berkuasa lagi Maha Besar. Hamba tiada daya upaya dapat membuat sebarang manfaat dan mudharat.
Dengan mensyukuri nikmat Tuhan yang telah kurniakan kepada kita akan kesedaran, mudah-mudahan dapat bersamalah kita memikirkan tentang kebenaran yang telah dinyatakan menurut ayat Al Quran Surah Al Asr’ yang bermaksud.
“Demi masa, sesungguhnya manusia berada didalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Lantaran daripada kenyataan ayat suci tersebut yang amat luas pengertiannya, telah menjadi inspirasi bagi diri hamba yang dhaif ini untuk berusaha memahaminya walaupun hanya sejengkal jari, supaya dimengertikan bahawa kehidupan hamba di alam maya ini yang tidak dapat lari dari tanggungjawab terhadap agama, juga terpalit rasa kasih kepada Bangsa dan kerana menjadi Rakyat kepada sebuah Negara ini.
Berdasarkan tanggungjawab terhadap Agama, Bangsa dan Negara. Insya- Allah, disinilah hamba berdiri sebagai manusia biasa menetapkan pendirian agar menyeru kepada kebaikan dengan memaparkan artikel pelbagai berita, pandangan isu-isu semasa, rentetan peristiwa dan komentar yang mungkin dapat membuahkan fikiran atau sedikit pengetahuan untuk renungan kita bersama. Wallahu A’lam.
Islam adalah agama universal untuk semua bangsa. Setiap bangsa dalam pandangan Islam adalah sama. Islam bertujuan menyatukan manusia dalam satu agama, tiada kelebihan satu bangsa dari yang lain. Bahkan dalam kebijaksanaannya mempunyai pandangan  kemanusiaan universal, bukan pandangan nasionalistik, seperti yang diikuti oleh Negara-negara kuno sebelumnya atau negara-negara moden sekarang.
Islam menghendaki menyatukan semua manusia dalam satu agama, bukan satu bangsa mahupun satu bahasa. Allah Tuhan pencipta umat manusia, telah menjadikan mereka bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Sekiranya Allah berkehendak menjadikan mereka satu bangsa sahaja, nescaya terjadi, namun tidaklah demikian yang menjadi kehendak-Nya. Sebagaimana firman-Nya pada surah Hud: 118 bermaksud.
 Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.”
Dan dengan cara yang sangat jelas pengertian ini tersebut dalam surah Hujurat : 13.
“Hai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
                Jadi Islam tidaklah mempersoalkan pentingnya lestari bangsa-bangsa, dan tradisi mereka masing-masing. Tetapi yang menjadi kepentingan Islam ialah untuk menimbulkan saling mengenal antara bangsa-bangsa dan bukan saling bertengkar, saling mencintai dan bukan membenci, agar yang lemah dapat hidup dengan aman disamping yang kuat dan yang kuat tidak mempunyai nafsu rakus menjajah tanahair yang lemah, mengintai harta kekayaannya, menghalangi usaha mencapai tujuannya, sehingga bangsa yang lemah selamat dari penderitaan dan terhindar dari kefakiran.
Demikianlah pedoman dari Al Quran, segala isi kandungannya berbahasa Arab yang ada dihadapan kita. Sesiapa juga tidak menemukan satu pun ayat yang menyatakan agar berupaya membangunkan sebuah negara Arab, menjadikan bangsa Arab mendominasi bangsa-bangsa lain dan menjadikan bahasa Arab diatas bahasa yang lain. Hal yang semacam ini sama sekali tidaklah merupakan misi Islam, dan bukan merupakan kepentingannya. Sikap seperti itu hanyalah tumbuh kerana fanatisme kebangsaan yang justeru hendak dipupus oleh Islam, baik fanatisme  antara bangsa ataupun didalam satu bangsa.
Islam sebenarnya muncul untuk mengatur ketertiban masalah dunia dan akhirat, sehingga ia menjadi sebuah agama yang utuh lagi sempurna dan merupakan penutup risalah langit kebumi. Jadi Islam berupaya untuk mendirikan sebuah negara ideal untuk menjamin kebahagiaan dunia akhirat umat manusia, menegakkan keadilan, yang mencakup golongan fakir mahupun kaya, golongan lemah mahupun kuat, golongan muslim, yahudi mahupun Nasrani, bangsa Arab, Parsi mahupun Romawi atau  lainnya.
Dengan demikian jadilah negara Islam kemudiannya sebagai satu negara untuk segenap umat manusia atau beberapa negara untuk beberapa bangsa, yakni satu negara untuk Bangsa Arab, satu negara lagi untuk bangsa Parsi, satu bangsa lagi untuk bangsa Romawi dan setiap negara untuk setiap bangsa. Akan tetapi negara-negara tersebut harus dalam bentuk dan pola negara ideal tadi, supaya negara tersebut dipayungi rasa perdamaian dan terhimpun pada ikatan persatuan dan kasih sayang.
Islam tidak melarang, misalnya, satu negara untuk bangsa Arab atau beberapa negara untuk bangsa Arab. Ia pun tidak melarang bangsa Parsi punya satu atau beberapa negara. Begitu pula dengan bangsa-bangsa lain. Kerana Islam suatu agama universal yang tidak mungkin mengutamakan bangsa Arab sehingga menjadikan satu negara untuk mereka dan memaksakan kepada bangsa lain untuk menerimanya.
Nabi s.a.w. pernah mengirimkan utusan menyampaikan surat-surat dakwah kepada raja-raja di zamannya. Beliau tidak pernah berusaha merampas kekuasaan dari salah seorang diantara mereka. Tetapi beliau hanya mengajak mereka masuk Islamdan membiarkan kekuasaan itu di tangannya, asalkan mahu masuk Islam. Surat-surat beliau kepada mereka itu banyak. Namun isinya tidak menyimpang dari pengertian ini. Beliau tidak meminta pada raja-raja Arab, Parsi, Romawi mahupun Habsyi, kecuali hanya permintaan masuk Islam  dan tiap-tiap raja dibiarkan tetap dalam kedudukannya. Islam sedikit pun tidak merampas kekuasaan itu dari tangan mereka.
Sebagai contoh, inilah surat Nabi kepada raja Harith bin Abi Syamr:
“Dengan nama Allah yang pengasih lagi penyayang. Dari Muhammad Rasulullah kepada raja Harith bin Abi Syamr. Selamatlah orang yang mahu mengikuti petunjuk, beriman kepada Allah dan membenarkan-Nya. Aku mengajak anda  untuk beriman kepada Allah semata-mata, Tuhan yang tiada bersekutu. Anda akan tetap didalam kedudukan anda.”
Raja Harith adalah merupakan gabenor raja Hercules, penguasa Romawi, berkedudukan di Damascus. Nabi tidaklah berusaha mencabutnya dari kekuasaannya. Beliau hanya meminta kepadanya untuk masuk Islam saja. Begitu pula isi surat-surat beliau yang lain kepada para raja lainnya.
Negara idealis dalam Islam mempunyai karekter universal, bukan berkarekter Arab,atau Parsi, atau Romawi dan lain sebagainya. Tetapi seorang ketua negara adalah seorang muslim mukmin, apapun bangsanya. Kerana Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Dengarkanlah dan patuhilah pemimpin kamu sekalipun yang memerintah kamu seorang hamba Habsyi yang kecil lagi hitam.”
Umar bin Khattab telah mengangkat Syuaib Ar-Rumi untuk menjadi imam solat jemaah sepeninggal beliau sampai terpilihnya seorang Khalifah baru. Dan Syuaib Ar-Rumi tetap mengimami solat jemaah mereka sampai terpilihnya Uthman bin Affan menjadi Khalifah. Dengan demikian Umar telah memberikan contoh kepada kaum muslimin bahkan hukum mereka memandang semua sama, tanpa melebihkan yang Arab dari bangsa-bangsa lain.
Dalam Islam pemerintahan itu bukanlah khusus ditangan sesuatu bangsa saja, tetapi dapat dipegang oleh siapa pun yang mendapat persetujuan kaum muslimin untuk menjadi penguasa baik dari kalangan Arab mahu pun yang lain.
Pemerintah negara yang menyeru kepada fanatisme negara bangsa tidaklah membawa apa-apa makna kepada umat manusia didalam sebuah negara islam itu sendiri  
Wallahu A’lam.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan