Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Khamis, 24 Julai 2014

Kenapa Susah Sangat Patuh Syariah???....



UMAT ISLAM PERLU POSITIF DENGAN TEGURAN MUHASABAH
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)

Penulis mengikuti isu teguran sajian arak dan isu aurat bukan bermula hari ini malah sejak tahun 1990an lagi apabila teguran demi teguran isu arak dalam pesawat MAS diabaikan dengan alasan komersial. Isu ini bukan sahaja ditegur oleh Dr Asri, malah Dr Ridwan Tee, NGO-NGO Islam serta para ulama' berdekad lamanya.

Malah penulis cukup berbangga dengan kewujudan susuk hebat seperti Allayarham Ketua Pramugara MAS Haji Ghaffar Abu Bakar yang telah melakukan pelbagai tindakan untuk mengislamisasikan suasana kerja dan perniagaan dalam MAS.

Antara usaha murni beliau adalah:
  1. Ghafar pernah menulis kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti agar mengeluarkan arak dari sajian dalam pesawat MAS.
  2. pernah meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.


Saya agak terkejut dengan reaksi ADUN PKR Seri Setia Nik Nazmi Ahmadyang menyatakan rasa kesal beliau dengan kenyataan Pemuda PAS Kedah baru baru ini yang cuba membawa isu muhasabah ke arah bersyariat dalam MAS sejurus selepas nahas MH 17.

Malah usaha pemuda PAS mengajak pihak kerajaan Malaysia dan pihak MAS menilai semula teguran ramai pihak berkenaan penyediaan arak dalam pesawat serta isu aurat pramugarinya dianggap seperti bercakap di masa yang salah serta di tempat yang salah sedangkan rakyat kita yang bermain dengan media sosial tidak seterkilan beliau kerana isu ini juga dibahas meriah di dalam media sosial.

Ia bukan suatu kenyataan bernilai pukulan yang meresahkan keluarga mangsa kerana tiada unsur penghinaan atau isu mengabaikan perasaan keluarga mangsa dalam kenyataan Pemuda PAS Kedah yang disiar penuh dalam Malaysiakini dan Malaysia Insider. Kenyataan itu dimulakan dengan simpati terhadap keluarga mangsa dan haraapan agar usaha menyelamat berjalan dengan lancar. Cumanya diselitkan muhasabah kepada pihak MAS dan kerajaan agar melihat aspek agama dalam perlaksanaan industri berkenaan memandangkan MAS berada di dalam sebuah negara beragama rasmi Islam berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan muhasabah sebegitu sama sahaja dengan amalan umat Islam berkata , 'bersabarlah dan takziah, ia adalah ujian atau kifarah kepada kesilapan lampau kita'. Umat Islam diajar selain mengucapkan takziah, kita juga diajar mengingatkan muhasabah kepada sesiapa yang ditimpa malapetaka dan musibah kerana itulah antara cara Allah menaikkan taraf umat islam atau menghapuskan dosa lampau. Itulah maksud muhasabah.

Cuma pada pandangan penulis, Nik Nazmi yang juga calon Ketua AMKitu hanya membaca ulasan ringkas Malaysiakini tanpa membaca tulisan penuh pemuda PAS dalam bahagian rencana. Sebelum beliau menilai sesuatu kenyataan itu sebagai kenyataan tak kena tempat, perhatikan nilai ungkapan dalam kenyataan tersebut, kepada siapa ditujukan, kesannya benarkah ia mengguris hati keluarga mangsa atau hanya memanaskan hati pihak yang pesemis dengan perlaksanaan syariah dalam perkhidmatan MAS.




Dimana Silapnya...???



KENYATAAN MEDIA 21 JULAI 2014
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah


Setiap rakyat Malaysia telah merakamkan kesedihan dan rasa terkejut dengan tragedi MH 17 yang ditembak jatuh pada pertengahan Ramadhan tahun ini. Dewan Pemuda PAS kedah juga turut melahirkan rasa sedih dan simpati kepada mangsa di dalam pesawat berkenaan serta ahli keluarga yang terlibat.

Selaku sayap utama sebuah Parti Islam yang berjuang atas landasan dakwah dan saling memperingati antara kita, Kami merasakan telah tiba masanya kerajaan Malaysia serta pihak pengurusan tertinggi MAS melihat permasahan yang menimpa MAS mutakhir ini dalam sudut pandang paling asas iaitu unusr ketuhanan dan kehambaan.

Apabila pada bulan Mac kita dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat MH 370 yang lesap begitu sahaja, kini pesawat MH 17 pula yang dilaporkan terkena tembakan 'syubhah' samada pihak Rusia mahupu Ukraine yang tidak mengakui kesilapan menembak pesewat yang memuatkan lebih 200 penumpang awam.

Dalam tragedi dan musibah yang berlaku ini perlunya pihak kerajaan Malaysia dan MAS melihat unsur kemurkaan Allah yang berada dalam perut pesawat-pesawat MAS yang mewakili syarikat penerbanag sebuah negara umat islam.

Dengan hidangan arak yang tidak pernah cuba dihapuskan, malah aspek aurat serta pakaian yang terkeluar daripada landasan syarak juga tidak diendahkan.

Menaiki pesawat MAS tidak membawa para penumpang merasai bahawa pesawat ini dikendalikan leh sebuah negara yang saban tahun menganjurkan Musabaqah Al Quran malah menjadi johan saban tahun dalam hal taranum Al Quran. Hal ini amat mengecewakan ramai pihak memandangkan ayat-ayat Al Quran yang ddialunkan mengandungi banyak ayat hukum berkenaan arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan Allah.
Firman Allah,
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. "(QS Al-Baqarah 208)

Mengabaikan perintah mengharamkan arak serta perintah menutup aurat ertinya menolak sebahagian isi kandungan kitab, Firman Allah,
"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan ​​dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu lakukan." (QS Al-Baqarah 85)

Dewan Pemuda PAS Kedah menyokong teguh kenyataan teguran Profesor Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkenaan jualan arak dalam pesawat MAS.

Pada Mac tahun ini juga beliau pernah menegur kerajaan secara terbuka selepas insiden MH 370. Malah teguran itu adalah suara rakyat yang cintakan Islam.

Kerajaan juga perlu rasa malu dengan kenyataan Setiausaha Eksekutif National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Alfred Tais bahawa ajaran Kristian sendiri tidak menggalakkan penganut ajaran itu mengambil minuman keras sekaligus menyokong cadangan memansuhkan hidangan arak dalam pesawat MAS walaupun beliau mengakui masalah untuk pelaksanaan pemansuhan tersebut ialah kerana pesawat MAS tidak hanya dinaiki oleh penumpang dari Malaysia.

Jika benar kerajaan berhasrat bermuhasabah dan ingin meraih redha Allah semula, apa salahnya jika diadakan soal selidik dan kajian peratusan penumpang yang enggan menaiki pesawat MAS hanya kerana tiada jualan arak dan kerana paramugarinya menutup aurat dan tidak memakai pakaian ketat lagi.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman

Ketua Penerangan DPPN Kedah

Rabu, 23 Julai 2014

Tingkatkan Amalan, dekatkan Ketaqwaan.

Baca Dan Tadabburlah Al Quran.
Idris Hj Ahmad

Saban tahun kita meraikan sambutan Nuzul Al Quran apabila munculnya 17 Ramadan dan diistiharkan cuti umum oleh sebahagian besar di negeri Malaysia. Lebih hebat lagi Malaysia pula mengadakan Musabaqah Al Quran peringkat Antarabangsa, sehingga Malaysia terkenal di kalangan dunia Islam. Persoalannya cukupkah sekadar begitu sahaja untuk kita hendak menjunjung Al-Quran yang merupakan mukjizat agung.

Kita mesti merasa malu jika kita sebagai pejuang Islam tidak membaca Al Quran. Sudahlah hukum Quran dikebelakangkan untuk menjadi cara hidup yang lengkap. Kerana masyarakat   lebih selesa untuk tidak mengambil AlQuran sebagai cara hidup. Semuanya berpunca daripada kejahilanya.

Al-Quran Untuk Memberi Hidayah
Salah jika kita menganggap Al-Quran hanya untuk mendapat berkat sahaja, sedangkan Al-Quran diturunkan untuk memberi pentunjuk dan panduan hidup kepada manusia. Akibat kejahilan setengah masyarakat mereka anggap Al-Quran hanya untuk mengambil berkat sahaja. Al-Quran hanya dibaca ketika hendak pindah ke rumah baru, baca ketika orang sakit dan orang mati sahaja. Maksud Firman Allah SWT "Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran untuk memberi petunjuk kepada manusia"

Ketenangan Jiwa
Ketenangan yang sebenar akan diperolehi daripada Allah SWT dengan kita banyak membaca Al Quran. Kerana ia adalah sumber ketenangan asli kepada  seorang Muslim. Jiwa manusia menjadi resah, berpunca  dari jiwa yang kosong. Ubat kepada kepada keresahan ini sudah semesti Al-Quran  yang akan menjadi penawar. Jiwa yang kosong tidak boleh dipenuhi dengan makanan jasmani biasa. Jiwa yang kosong tidak boleh diubat oleh doktor pakar.

Arahan Allah Kepada Kita.
Ketika kita membaca mesti kita serapkan dalam hati bahawa yang kita baca ini ialah merupakan arahan daripada pencipta yang agong. Malahan lebih daripada kita membaca Perintah Am di tempat kerja kita. Apa yang diarah mesti kita patuh tanpa alasan untuk engkar. Jika engkar kecelakaan menunggu selepas mati nanti.

Rujukan Kepada Perjuangan
Pas telah meletakkan di dalam Perlembagaannya Al Quran, Hadis, Ijma' dan Qias. Kita tidak pernah buang dan berganjak daripada dasar ini, samaada ketika Pas keseorangan atau bertahaluf dengan rakannya. Setiap apa yang kita lakukan tidak akan lari daripada petunjuk Al Quran. Kita tidak akan gadai prinsip walaupun ada keuntungan duniawi. Kemampuan ulamak Pas untuk mengistinbatkan hukum daripada Al Quran adalah satu kelebihan. Isi kandungan Al-Quran sentiasa segar dan menarik untuk menyelesaikan permasalahan semasa seperti Firman Allah SWT dalam Surah Yasin ayat 2 "Demi Al-Quran yang maha bijaksana"

@Motivasi Untuk Pejuang
Al Quran merupakan sumber motivasi yang paling bernilai di dalam kehidupan kepada seorang pejuang. Motivasi pahala dan syurga yang dijanjikan oleh Al-Quran adalah barang yang tidak  boleh ditukar dengan setinggi gunung emas. Apabila kita membaca dan mentadabbur ayatnya ia boleh memberi perangsang kepada kita untuk terus berjuang. Motivasi inilah yang ditakuti oleh musuh Pas. pernah satu ketika dahulu ada seorang pemimpin negara mengatakan Pas memberi rasuah syurga, sehingga mencadangkan kepada SPR supaya memasukan janji syurga termasuk kesalahan pilihanraya.

@Milikilah Al Quran terjemahan

Bagi kita yang tidak mahir di dalam bahasa Arab, maka eloklah mempunyai Al-Quran terjemahan supaya kita dapat menghayati makna Al-Quran dengan lebih mendalam. Ini akan menimbulkan kekhusukan kepada apa yang kita baca. Ada beza membaca Al-Quran tanpa faham dengan faham maknanya.

Kenapa Manusia Mengabai Membaca Al-Quran.
1. Sikap memandang remeh tentang kepentingan Al-Quran
2. Godaan syaitan yang menghalang usaha baik ini.
3. persekitaran yang tidak membentuk sikap rajin untuk membaca Al-Quran.
4. Sibuk dengan urusan duniawi sehingga tidak sempat membelek Al-Quran
5. Sibuk melayan media baru, sehingga ruang masa dicuri untuk Wasap dan Face book.
6. Tidak ditarbiah untuk rapatkan diri dengan Al-Quran

Selasa, 22 Julai 2014

MENGHAYATI KEPERITAN PENOREH GETAH: Lajnah Tanah PAS Pusat Hulur Bantuan.

PADANG RENGAS: 20 Julai – Program Lajnah Tanah PAS Pusat bersama NGO, Persatuan Anak Penoreh Getah (PETAH) dengan tema ‘Menghayati Keperitan Penoreh Getah,’ diadakan di Paya Ranggam untuk menyampaikan bantuan keperluan dapur kepada 50 orang penoreh getah dalam majlis berbuka puasa disini.

Menurut Timb. Pengerusi PETAH, Pn Intan Hj Kasah, NGO PETAH ditubuhkan pada Jun lalu ialah untuk membantu penoreh bagi menyuarakan permasalahan dihadapi oleh golongan penoreh yang ramai masyarakatnya ialah terdiri daripada orang-orang melayu, sebagai pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan mengambil upah sebagai penoreh.

Program Ziarah menyampaikan bantuan turut diadakan dibeberapa buah Negeri sempena Ramadhan ini untuk menyelami sendiri penderitaan dialami oleh pekebun kecil diseluruh Negara berikutan kejatuhan harga getah dipasaran.

Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Hj Mazlan Aliman, ketika ditemui berkata berkata; “kejatuhan merudum harga getah pada tahap RM180 sekilo pada ketika ini, amat membebankan rakyat khususnya orang-orang melayu dari kalangan pekebun kecil dan lebih-lebih lagi mereka yang mengambil upah sebagai penoreh getah, yang masih berada didalam ruang kemiskinan.”

“Ketika kunjungan ziarah di beberapa Negeri, pihak kami melihat sendiri kehidupan sukar yang terpaksa dilalui oleh keluarga penoreh getah, mereka terpaksa berlapar kerana tidak mampu untuk membeli sekampit beras, jelas beliau.”

Menyedari kesan kejatuhan harga getah ini ditanggung oleh seluruh keluarga pekebun kecil dan penoreh getah, Lajnah Tanah PAS Pusat mendesak kerajaan supaya bertanggung jawab mencari jalan untuk berikan pembelaan kepada golongan ini, setelah berbagai memorandum yang telah disampaikan oleh Lajnah Tanah PAS Pusat dan Beberapa NGO tidak dilayan oleh pihak kerajaan.

Kerajaan perlu menetapkan harga lantai getah dipasaran, bagi menjamin ekonomi orang-orang melayu diluar bandar supaya tidak berlanjutan dihimpit dengan beban kemiskinan.

Kerajaan seharusnya memikirkan kestabilan ekonomi pekebun kecil terjamin dan bersifat jangka panjang. Kerana disana terletaknya survival akar umbi orang-orang melayu yang tinggal diluar Bandar.

Mazlan menyeru kepada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan bagi meringankan beban golongan penoreh getah bolehlah menyalurkan bantuan melalui NGO PETAH.

Turut sama dalam program ini, Timb.Pesuruhjaya PAS Perak, YB DS Ir. Nizar Jamaluddin yang menerima serahan kutipan wang derma sebanyak RM7,153 daripada PAS Kawasan Padang Rengas untuk tabung Palestin pada malam tersebut.


Rabu, 9 Julai 2014

BONUS RAYA: Guru KAFA Bagaimana...???


LENGONG: 9 Julai - Dewan Pemuda PAS Perak (DPPPk) cukup sedih jika Kerajaan Negeri Perak meminggirkan jurusan bidang Agama Islam terutamanya, kepada penyelia dan guru Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Negeri Perak, yang telah banyak menyumbang khidmat bakti mereka kepada anak-anak kita, agar memahammi Islam dengan lebih dekat.

Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak berkata; "kami menerima aduan bahawa, guru KAFA sehingga kini masih tidak menerima berita gembira samada akan menerima imbuhan bonus Hariraya atau tidak, sepertimana kakitangan awam lain yang telah dimaklumkan akan menerima bonus sempena Hariraya Eidulfitri pada tahun ini."

"Sekiranya ini benar-benar berlaku, ianya amat menyedihkan kerana kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada masakini memerlukan Ihsan daripada pihak-pihak yang berwajib seperti mendapat bonus Hariraya, supaya bantuan sambutan Hariraya pada tahun ini dapat diraikan dengan rasa gembira oleh guru-guru KAFA," tambah Dr. Raja Ahmad Iskandar.

Dewan Pemuda PAS Perak merayu agar Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tidak akan menghampakan semua guru-guru KAFA, agar minimbang pemberian imbuhan bonus Hariraya kepada semua guru-guru KAFA di Perak.

"Kami juga mengharapkan agar Kerajaan Negeri Perak akan membuat pengumuman yang menggembirakan kepada semua guru-guru KAFA di Negeri Perak bahawa, kebajikan mereka akan terus diberikan perhatian, terutamanya menjelang sambutan Hariraya pada tahun ini," Ujar Dr. Raja Ahmad Iskandar.