KETIKA pembahas berucap dalam Perhimpunan Agung Umno ke 61 (usia Umno 64), antara nama yang sering menerima kritikan dan kecaman, ialah Ketua Penerangan, Dato' Ahmad Maslan. Namun, yang menghairankan tidak pula Ahmad diberi peluang oleh Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjawab ketika penggulungan.
Berbeza dengan era kepimpinan Umno terdahulu, biasanya, mereka yang namanya disentuh dalam perbahasan, akan bangkit memberi jawapan tetapi, dalam era Najib, ia diubah. Mungkin Najib tidak membenarkan Ahmad membuat jawapan, kerana khuatir akan diboo perwakilan.
Sejak Ahmad dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di situlah bermulanya serangan peneroka Felda terhadap Felda. Ada juga yang mengatakan, sejak kebelakangan ini Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Nor sudah semakin kerap menganjurkan pelbagai program dengan harapan jawatannya disambung dua tahun lagi.
Desas-desus bertiup kencang, Dr. Yusof akan ditamatkan jawatannya dan tempatnya digantikan dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetapi, desas-desus ini senyap begitu sahaja apabila, beberapa kes saman peneroka terhadap Felda berjaya.
Ahmad sebenarnya patut bangun memberi penjelasan di hari terakhir perhimpunan. Sindiran perwakilan Wanita yang menyentuh Felda dan beberapa agensi dan GLC nampaknya tidak mendapat respon yang baik dari pihak tertentu. Ahmad, selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda sebenarnya sedang digigit dan digugat sekarang ini. Dia tidak boleh lari dari tanggungjawab ini.
Walaupun, kali pertama Felda kalah bicara, mereka mengatakan peguam yang mewakili Felda tidak hadir bicara, bagaimana pula dengan beberapa kes lain, yang peneroka menang bicara? Dr. Yusof Nor yang jarang muncul di TV, kini sudah pandai mencari publisiti. Mahu buat kolej melatih bakal pembantu rumah dijadikan fokus utama Felda sekarang.
Dalam masa yang sama, Felda terpaksa membayar 'air time' kepada radio Kelasik Nasional untuk menyampaikan berita-berita Felda. Acap kali, akan ada peneroka-peneroka yang dijemput untuk memberi puji-pujian kepada Felda.
Entah berapa jumlah Felda terpaksa bayar kepada RTM untuk slot ini, tidak pula diketahui tetapi pelbagai usaha mahu dibuat bagi memberi keyakinan kepada rakyat kononnya Felda teraniaya dek perbuatan segelintir peneroka.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda ialah Perdana Menteri sendiri. Tetapi, dalam tugas sehari-harian, Ahmadlah yang dipertanggungjawabkan. Malangnya, Ahmad tidak dapat membendung kehendak peneroka-peneroka yang merasakan mereka tidak mendapat hak mereka selama ini sebagai peneroka.
Selama ini, BN menyifatkan Felda adalah kawasan simpanan tetap mereka. Mereka percaya bahawa peneroka dan anak-anak peneroka tetap akan menyokong BN dalam pilihan raya kerana keyakinan kononnya Felda adalah hak kerajaan.
Namun, apabila ada pihak yang merasakan Felda sebenarnya 'neo kolonial' kepada sesetengah peneroka hingga mereka tampil untuk menyaman Felda, Najib dan Ahmad gelabah. Tentunya Dr. Yusof Nor juga gelabah disebabkan situasi yang tidak berpihak kepada mereka.
Bukan itu sahaja, jika Felda berjaya disaman, agensi yang seakan-akan Felda, Felcra juga menanti masa sahaja untuk diheret ke muka pengadilan. Peneroka dan peserta Felcra sudah nampak tindakan rakan-rakan mereka di Gugusan Raja Alias di Jempol dan Tanah Merah, beroleh kejayaan.
Perkembangan ini cukup merisaukan. Felda yang selama ini, sukar ditegur, kini sudah diserang kiri dan kanan. Malahan, isu penubuhan team bola Felda United dan pembinaan bangunan Felda oleh Kumpulan Naza juga menjadi isu yang cukup sukar dijawab.
Sepatutnya dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, Ahmad atau Najib sendiri boleh menggunakan platform tersebut untuk membuat penjelasan isu Felda. Atau, jika mereka mempunyai hujah, boleh sahaja isu ini ditanam untuk menjadi bahan ucapan perwakilan.
Sekurang-kurangnya, mereka berdua boleh menjawab untuk membersihkan nama baik Felda. Malangnya, mereka sendiri, barangkali sudah tidak ada hujah yang mampu mereka luahkan bagi memberi jawapan terhadap apa yang dipertikaikan. Banyak agensi kerajaan kini, menjadi tempat bekas menteri mencari makan. Jawatan pengerusi seperti diwujudkan hanya untuk menteri mendapat ofis selepas tidak lagi dilantik.
Antaranya, Shahrir Samad dilantik menjadi pengerusi satu agensi berkaitan kelapa sawit, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (Risda), Dato' Seri Ir Mohamad Zin Mohamad (KTMB), Tan Sri Syed Hamid Albar (SPAD), Tajol Rosli Ghazali (Air) dan ramai lagi.
Bagaimana akhirnya Felda di tangan PM dan Ahmad, hanya masa yang akan menentukan. Sekiranya, ada lagi peneroka bertindak mahu menyaman Felda, tiada siapa yang dapat menahannya. Yang lebih penting, BN sudah mula resah untuk menghadapi pilihan raya akan datang, kerana tahu, Felda yang selama ini dianggap sebagai 'simpanan tetap' sudah berubah.
Perubahan ini berlaku kerana semakin ramai peneroka yang sedar bahawa mereka seperti dijajah dalam bentuk penjajahan moden atau neo colonial. Itu mungkin anggapan mereka dan hanya mahkamah yang akan menentukan sama ada kes atau tidak setiap kali saman difailkan. - SAFAR JUMAAT
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan