Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Selasa, 28 Disember 2010

LENGGONG: Jalan Tekok yang menjadi laluan utama bagi lebih 300 penduduk di Kampung Chepor Hulu dekat sini yang mengalami kerosakan teruk sejak bertahun akhirnya dibaik pulih secara bergotong-royong semalam.
  Lebih 30 penduduk keluar untuk menyiapkan kerja baik pulih jalan itu secara bergotong-royong apabila tidak diendahkan pihak-pihak bertanggungjawab yang sepatutnya berusaha mendapatkan peruntukan segera.
  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Program itu, Mat Saad Abdul Rahman, 60, berkata usaha baik pulih itu terpaksa dibuat secara bergotong-royong berikutan jalan itu yang juga disebut Jalan Tok Goling adalah laluan utama bagi penduduk yang hendak keluar ke pekan, ke ladang dan juga digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah.
  "Kami bermesyuarat di surau dan sepakat untuk membaik pulih jalan itu secara bergotong-royong, di mana modal untuk membeli simen kami kutip daripada penduduk.
  "Ada penduduk yang derma wang ringgit secara ikhlas yang tidak kami tetapkan sekian-sekian banyaknya dan ada juga yang derma simen sekampit," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui selepas gotong-royong.
  Mat Saad berkata, sekiranya hendak menunggu peruntukan  untuk baik pulih jalan itu tidak tahu bila, sementara jalan terus mengalami kerosakan teruk, manakala orang ramai tetap melaluinya, lebih baik dibaiki secara gotong-royong.
  Pengumpul dana program itu, Ahmad Kushairi Mat Dayeb, 58, berkata selepas bermesyuarat untuk bergotong-royong, mereka berjaya mengumpul hampir RM500 untuk membeli simen dan mereka beruntung kerana pasir hanya diangkut dari Sungai Chepor tanpa perlukan perbelanjaan.
  Seorang warga emas, Saari Goling, 84, berkata jalan tar sepanjang hampir 1 km itu dibina hampir 10 tahun lalu dan telah mengalami kerosakan di sebahagian besar, terutama di kawasan yang dibaik pulih secara bergotong-royong itu.
  Katanya, sudah dua musim banjir berlaku menyebabkan jalan itu mengalami kerosakan teruk sehingga ada tempat-tempat yang dawainya menonjol membahayakan laluan kenderaan.
  Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Ahmad Ruzi Bahari, 46, berkata permohonan untuk keseluruhan jalan dalam kampung sepanjang 3 km telah dibuat dan berharap diluluskan pada tahun depan.
  Katanya yang turut bersama program gotong-royong itu, bukan saja jalan Tekok yang mengalami kerosakan, banyak lagi jalan lain yang juga rosak dan permohonan dibuat untuk keseluruhannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan