Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Jumaat, 26 Ogos 2011

Felcra akan disaman besar-besaran

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) akan memfailkan saman secara besar-besaran terhadap institusi tanah tersebut kerana mendakwa berlaku penyelewengan wang peneroka melalui koperasinya.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, kebanyakan peserta tidak berpuas hati apabila pendapatan mereka dibayar dalam bentuk dividen melalui koperasi Felcra.




Menyifatkan penyelewengan di Felcra sebagai lebih buruk berbanding Felda, Mazlan berkata, beliau menerima aduan bayaran dividen yang dibayar empat kali setahun iaitu setiap tiga bulan terlalu rendah.


"Pendapatan peserta Felcra dibayar secara individu dalam bentuk dividen selepas ditolak kos perladangan. Ada peneroka yang hanya dapat RM200 sahaja untuk masa tiga bulan. Ini sangat rendah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Apa yang lebih mengejutkan katanya, koperasi Felcra tidak berdaftar dan pengurusan kewangannya tidak pernah diaudit.

"Koperasi Felcra tidak berdaftar jadi bila tak berdaftar, tak pernah diaudit. Ini menyebabkan ia lebih terdedah kepada penyelewengan," katanya.

Menurutnya, koperasi menggunakan duit peneroka untuk membayar kos lawatan kakitangan Felcra ke beberapa tempat, jamuan untuk orang-orang penting (VIP) dan sambutan keraian yang lain.

Beliau berkata, pihak Bapa yang merupakan salah satu NGO di bawah lajnah tersebut bersama panel peguam akan mengkaji samaada pembayaran dalam bentuk dividen perlu dikekalkan atau tidak.

"Panel peguam akan menggerakkan kempen untuk mendesak kerajaan membari pendapatan secara individu, bukan dividen seperti sekarang," katanya.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), aduan yang banyak diterima adalah daripada peserta Felcra di Perak selain Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Namun katanya, Felcra mana yang akan memfailkan saman tersebut akan didedahkan pada majlis sambutan hari raya warga Felcra peringkat kebangsaan, 16 September ini di Felcra Changkat Lada, Perak.

"Kita tak akan dedahkan awal sebab takut mereka akan menerima ugutan daripada pihak Felcra," katanya.

Katanya juga, kemenangan Mohamad Ramly Sanji, waris kepada peserta Felcra di Tapah dalam samannya terhadap Felcra Berhad baru-baru ini memberi semangat kepada peserta yang lain untuk memfailkan saman yang berikutnya.

Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit

Tiada ulasan:

Catat Ulasan