Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Isnin, 23 Mei 2011

TAHAALUF SIASI DAN SYARATNYA


Dalam merencanakan amal Islami dalam konteks politik, kita perlu meneliti petunjuk daripada sunnah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang telah meninggalkan kerangka siasah (politik) yang terunggul. Antara beberapa khazanah berharga tersebut adalah konsep Tahaaluf Siasi ataupun kerjasama politik yang dilakukan Baginda sepanjang kerja kepimpinan dan dakwah. Tahaaluf ialah perjanjian mengenai persefahaman berteraskan etika ta'awun (bantu-membantu) untuk membina pemerintahan berasaskan Islam demi tujuan dakwah dalam jangka masa yang panjang.
Contoh-contoh Tahaaluf Di Zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam
1). Persefahaman yang berlaku di kalangan sesama umat Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji Islam dan tertegaknya negara Islam.
2). Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.
3). Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam mengiktiraf hilf al-fudhul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.
Berhubung dengan peristiwa ini, terdapat sebuah hadis daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku akan menyahutnya.” ( Riwayat Ibnu Ishaq )
4). Sistem Himayah (jaminan keselamatan) adalah suatu konsep tolong-menolong atas dasar perkauman dan kekeluargaan yang diamalkan di zaman jahiliyah yang turut digunakan oleh RasuluLlah sebelum penghijrahannya ke Madinah. Ia juga suatu konsep perlindungan oleh golongan kuat dan berada kepada golongan yang lemah. Adalah menjadi kebangaan bagi mereka sekiranya dapat melindungi yang lemah walaupun berlainan agama. Himayah adalah salah satu konsep Tahaaluf untuk kemaslahatan umat Islam jika memerlukan.
Oleh itu, Tahaaluf  telah menjadi suatu perkara yang pernah berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Perlaksanaannya pada satu-satu zaman memerlukan satu kajian yang mendalam dan perlu dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.

Tahaaluf Dan Konsep Tadrij Marhaliy ( berperingkat )

Sekiranya ada Harakah Islamiyah (gerakan Islam) berkerja sama dengan badan atau parti politik lain dalam hal perjuangan siasah adalah merupakan suatu matlamat dakwah jangka masa panjang. Menganggap gerakan Islam ingin mengambil kesempatan dan meninggalkan ‘rakan’ seperjuangan selepas mendapat kerusi, adalah tanggapan yang salah.

Gerakan Islam mestilah memiliki pendekatan berdakwah kepada sesiapa sahaja, samada kawan mahupun  lawan. Inilah konsep dalam menyebarkan dakwah secara berperingkat ( graduality ) yang ditinggalkan oleh Imam as Syahid Hassan al Banna;

Tahap Pertama : Takrif (pengenalan) tentang matlamat dan wasilah jamaah serta idea perubahan Islam yang diseru oleh Ikhwanul Muslimin.

Tahap Kedua : Takwin (pembentukan) dengan memilih unsur-unsur  yang dapat membentuk kepuasan dengan berkerja serta mendidik unsur-unsur tersebut dengan didikan rohani, akal dan fizikal bagi mengembalikan kehidupan Islam dan negara Islam.

Tahap Ketiga : Tanfiz (perlaksanaan) iaitu langkah berkerja atau praktikal bagi dakwah Ikhwan Muslimin.

Setiap tahap memerlukan masa, kesabaran dan ketabahan. Amukan nafsu dan sikap terburu-buru harus dielakkan kerana ia hanya membinasakan diri dan orang sekeliling. Bagi golongan yang tergesa-gesa ini, Imam Hassan al Banna berkata;

“Wahai Ikhwan Muslimin, terutamanya mereka yang bersemangat dan tergesa-gesa di kalangan kamu… Jalan kamu ini telah pun dilakarkan perancangan-perancangannya dan diletakkan batas-batasnya. Aku tidak akan menyalahi batas-batas tersebut yang telah memberi keyakinan kepadaku bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke destinasinya. Benar, boleh jadi ia adalah jalan yang panjang namun di sana tiada lagi jalan selainnya. Kelakian hanya lahir dengan kesabaran, tabah, serius dan amalan yang berterusan. Barang siapa di kalangan kamu hendak mempercepatkan buah sebelum ia masak atau bunga sebelum ia mekar, maka aku tidak bersamanya dalam keadaan ini biar apapun keadaaannya. Adalah lebih baik baginya berundur diri dari dakwah ini dan menyertai dakwah-dakwah yang lain.Barangsiapa yang bersabar bersamaku sehingga bercambahnya benih, tumbuhnya pokok, masaknya buah dan sampai ketikanya untuk dipetik maka pahalanya adalah urusan Allah. Kami dan ia tidak akan terlepas ganjaran orang-orang yang baik sama ada kemenangan dan ketuanan atau syahid dan kebahagiaan. Wahai Ikhwan Muslimin: Pakaikan gelojakan emosi kamu dengan ladam pertimbangan akal, sinarilah akal kamu dengan nyalaan emosi, janganlah kamu cenderung berlebihan nescaya kamu akan menjadikannya tergantung tanpa bertali. Janganlah kamu menyalahi aturan alam kerana ia pasti akan menang (mengalahkan kamu) sebaliknya atasilah emosi kamu dan gunakannya serta ubah gelombangnya. Gunalah kedua-duanya (emosi dan akal), nantilah saat-saat kemenangan sesungguhnya ia tidak jauh dari kamu.Pengalaman dahulu dan sekarang membuktikan bahawa tiada kebaikan melainkan jalan kamu, tiada hasil melainkan bersama perancangan kamu dan tiada kebenaran melainkan dalam apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu leka dengan kesungguhan kamu dan janganlah kamu memperjudikan riak-riak kemenangan kamu.”

Hukum Tahaaluf
Tahaaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara Tahaaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dan tahaaluf yang ditolaknya.

Syarat-Syarat Tahaaluf 

1. Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.
Dalil-dalilnya ialah:

i) Hubungan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah  bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya".

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Baginda sallaLlahu alaihi wasallam.

Dalam persepakatan gerakan Islam yang melibatkan dengan politik bersama parti-parti lain, kita dibenarkan untuk menolong jentera mereka yang bersikap setiakawan dengan gerakan Islam, dan jika tiada calon gerakan Islam di kawasan tersebut. Namun begitu kita dilarang daripada meninggalkan jamaah ini (gerakan Islam) dengan menyertai parti lain yang berlainan ideologi dengan gerakan Islam.

Hal ini perlu dijelaskan kepada  pendokong gerakan Islam, agar Tahaaluf tidak menjadi punca perpecahan di antara mereka.

2. Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral 

Apabila isu dan gejala buruk tersebut merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibat buruknya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini. Contohnya, berkerjasama dengan NGO dan  mana-mana parti lain di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan ISA dan sebagainya, kerana Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam turut mengiktiraf hilf al-fudhul yang bertujuan membela mereka yang dizalimi.

Baginda juga mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.

Dalam hal ini, gerakan Islam boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak atau mana-mana gerakan yang berusaha menetang kemungkaran era baru seperti IFC, Islam Liberal serta pelbagai kebejatan aqidah dan sosial. Pendokong gerakan Islam perlu memasukkan dakwah secara lembut dan berterusan kepada golongan ini agar mereka menerima dakwah Islam.

3. Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan 

Seringkali berlaku apabila diadakan kerjasama politik, ada pihak yang menentang kepimpinan adil cara Islam serta mengambil kesempatan pula untuk merosakkan ideologi dan aqidah tulen para petugas gerakan Islam. Hal ini perlu dielakkan kerana setiap individu Islam yang menjadi pendokong Islam adalah manusia terpimpin dan tidak pragmatisme dalam memutuskan tindakan.
Dalil-dalilnya :-
i) Rasulullah telah menangguhkan tahaaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan kerajaan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

ii) Rasulullah membatalkan cadangan untuk berTahaaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

4. Tidak berwala’ kepada rakan Tahaaluf dan tidak redha dengan pegangan mereka 

Perihal wala’ adalah perkara tunjang yang menjustifikasikan dan mengesahkan amal Islami kita dalam gerakan Islam. Lantaran itu piawaian wala’ telah ditetapkan oleh Allah beserta Rasul-Nya melalui firman-Nya,“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan ( larangan ) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat - ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali” - Surah Ali ‘Imran: 28

Memilih calon bukan Islam atau calon yang tidak berada di landasan gerakan Islam, tetapi berjuang menentang kezaliman dan kemungkaran lebih besar adalah suatu yang WAJIB demi menyekat kezaliman  walaupun calon tersebut bukan Islam atau Muslim yang tidak berpegang dengan Islam secara menyeluruh.

Berwala’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kerjasama adalah untuk kemaslahatan dan kebaikan Islam umumnya, bukan meredhai mereka sebagai pemimpin. Hal ini kerana kepimpinan Islam hanya sah sekiranya menuruti seluruh sistem Islam dalam pentadbiran mahupun kepimpinan.

Garis Panduan Tahaaluf

1. Tahaaluf mestilah dijalankan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam.
2.  Tahaaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.
3.  Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan Tahaaluf.
4.  Tahaaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
5.  Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaaluf secara mutlak.
6.  Mandat membuat penilaian Tahaaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura ‘Ulamak.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman yang diadakan secara sementara waktu (bertempoh) dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan senjata).

Disebut di dalam “Syarah Muhazzab” (karangan al Imam al Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong untuk memerangi golongan lain. Akan tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja, dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

Hari ini parti yang berkonsepkan gerakan Islam boleh bekerjasama dengan pihak lain selama mana  mereka bersedia secara jujur ingin bersama seperti dalam isu Palestin, isu rasuah dan sebagainya. Akan tetapi muwada’ah ini hanya sah dalam isu kerjasama itu sahaja dan bukannya selama-lamanya selagimana mereka masih memegang ideologi sekular atau menetang Islam.

Kategori Tahaaluf 

Tahaaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.    Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat : 
A) Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
B) Mengiktiraf negara Islam
C) Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2.    Tahaaluf tanpa membentuk negara : 
A) Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar
B) Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.
C) Berlindung sementara ketika lemah.
D) Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah.

Beberapa pemerhatian
Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut :

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah dan tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yang kuat  dan dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain serta perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden. Kalau tidak, Tahaaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah Taala dan kebijaksanaan kurniaan-Nya.

PENUTUP
Konsep Tahaaluf perlu disebar luaskan di kalangan pemimpin dan pendokong gerakan Islam di peringkat akar umbi demi mengelakkan salah faham terhadap konsep dan wala’. Jelasnya parti yang berkonsepkan jamaah harakah yang berjuang atas nama Islam, dan bukannya atas nama kemanusiaan semata-mata. Ketaatan kepada pimpinan dan jemaah Islamiyyah adalah atas dasar berada pada dasar yang sama iaitu memartabatkan syariah dan aqidah Islam.

Tahaaluf adalah medium ke arah kemenangan Islam dan bukannya punca perpecahan dan kehilangan petugas-petugas yang bakal membangkit kesedaran Islam dalam setiap peringkat.

SELEPAS MEMBACA ARTIKEL INI, SAUDARA TELAH MEMAHAMI:
1) Tahaaluf siasi adalah satu konsep dan polisi dalam siasah syar’ieyah yang bermatlamat menjayakan usaha dakwah Islam kepada seluruh umat manusia.
2) Tahaaluf siasi  telah mula dilaksanakan oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di peringkat awal dakwah Islam. Justeru rujukan melaksanakannya hendaklah bertepatan dan terikat dengan sunnahnya.
3) Tahaaluf siasi adalah strategi dakwah yang bersifat tadarruj dan marhaliy ( beransur – ansur dan berperingkat ) yang menuntut kesabaran dan tidak gopoh.
4) Pendokong gerakan Islam hendaklah memahami konsep tahaaluf siasi serta syarat-syaratnya dengan baik demi mengelak perselisihan yang tidak perlu sesama sendiri disebabkan kefahaman yang cetek.
5 ) Sentiasa berwaspada dengan tipu daya musuh Islam yang sentiasa memburu kelalaian pihak kita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan