Sewa Homestay Lenggong

Sewa Homestay Lenggong
Iklan

Saham Akhirat

Saham Akhirat
Wakaf / Derma

Rabu, 19 Jun 2013

PAS Komited Jadikan Lenggong Hab Pengajian Ilmu Islam.

Seramai 30 Pelajar Tahfiz Sedang Mendalami Ilmu Disini.
LENGGONG: Pas Kawasan  komited menjadikan Lenggong sebagai hab pengajian islam di daerah ini.

Sepanjang kempen mengharungi pilihanraya umum 13 (PRU 13) baru-baru ini, PAS Lenggong benar-benar berhasrat untuk merealisasikan harapan untuk membangunkan kembali pusat-pusat pengajian agama yang dijangka akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya PAS berjaya menerajui kerusi Parlimen.

Namun, keputusan yang telah dibuat oleh masyarakat pengundi masih tidak menyebelahi PAS bagi memudahkan PAS melaksanakan halatuju murni itu untuk tujuan pembangunan yang meliputi rohani dan jasmani, merangkumi pelan ekonomi jangkamasa panjang yang lebih baik untuk masa depan golongan anak muda.

Ruang Dewan Kuliah Tingkat 2 Yang Selesa. 
Tidak terkesan dengan keputusan PRU 13 disini yang tidak menyebelahi kepada PAS, Tn Hj Razman Hj Zakaria, selaku mantan Calon P.055 Lenggong dan Yang DIpertua PAS Kawasan, tetap akan meneruskan agenda yang telah direncanakan menurut apa sahaja kemampuan yang ada didalam menyampaikan usaha dakwah untuk membentuk generasi masa depan membangun seiring dengan tuntututan cara hidup didunia dan akhirat bersama-sama Jemaah.

Sebagai penaung kepada sebuah Maahad Tahfiz  Al Quran Lid Da’wah Wal Imaamah yang dibangunkan di tempat kelahiran beliau di Kg. Luat, Lenggong, Tn Hj Razman ingin mengembangkan lagi usaha dakwah melalui pengajian ilmu islam kepada pimpinan PAS dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pendakwah dan mengikuti pengajian peringkat diploma pengajian Tasawwur Islam  (ILHAM) yang telah diiktiraf, di Maahad Tahfiz Kg. Luat ini.

Bagaimanapun, pengambilan pelajar yang ingin menyertai program ini terbuka kepada yang berumur 20 keatas dan hanya terhad kepada 30 orang sahaja dan mengutamakan kepada peserta berminat yang tinggal di kawasan Cenderoh, Lenggong dan Gerik bagi permulaan sesi pertama, yang dijangka akan bermula pada Ogos 2013.

Sebarang  Pertanyaan, sila hubungi ustaz Zulfiqar di talian: 012-935 5478.

Tn Hj Razman berkata, usaha dakwah yang sedang giat diusahakan ini akan diteruskan bersama Jemaah dan bukan bersifat sementara atau bermusim untuk menghadapi Pilihanraya.

Beliau yakin, apabila masyarakat mempunyai ilmu serta memahami tuntutan agama maka, manfaatnya adalah untuk kebaikan mereka sendiri. Disamping dengan ilmu yang diperolehi para pelajar itu nanti dapat dikembangkan seterusnya kepada masyarakat melalui dakwah disemua surau dan masjid di tempat maSing-masing.

Kata Tn Hj Razman; “Tugas kita sebagai Khalifah ialah untuk menyampaikan apa yang di suruh dan menegah apa yang dilarang oleh Allah S.W.T. sementara Hidayah pula milik Allah dan Dia-lah yang Maha memberikan rahmat kepada sesiapa yang di kehendakiNya.”

Oleh yang demikian, PAS tidak akan berhenti walaupun terdapat kesukaran dan halangan daripada pihak-pihak tertentu didalam usaha untuk melaksanakan Sunnah Nabi untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya kembali kepada islam sebagai cara hidup.

Dakwah berterusan kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar sangat-sangat diperlukan kerana sejak kebelakangan ini, program-program  agama semakin dipinggirkan penganjurannya di kebanyakan surau dan masjid di kampung-kampung di kawasan Lenggong, berbanding dengan penganjuran program agama di surau dan masjid di kawasan perumahan bandar.

Tanah Lapang Bersebelahan Maahad Tahfiz Untuk Membina Pondok
Tumpangan Pelajar
.
Pengajian hujung minggu terbuka (setiap Ahad) kepada semua muslimin dan muslimat, akan turut diadakan di Maahad Tahfiz ini, manakala sesiapa yang berhasrat untuk tinggal menuntut ilmu disini, bolehlah membina pondok tempat tinggal diatas tanah yang disediakan untuk tujuan itu.

Semoga usaha PAS Lenggong untuk membangunkan masyarakat berilmu dan memahami tuntutan agama mendapat sokongan daripada semua pihak disamping bersama-sama memudahkan urusan yang akan mempercepat tujuan murni ini mencapai matlamatnya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan